29 Jan 2010

Harta oh Harta...

Salam ‘alayk. Lama agaknya tak update penulisan dalam blog ini. Kebetulan masa agak terbatas dengan pembahagian antara kerja dan tugas sebagai da’ie. Namun walau apa pun, dakwah adalah satu kemestian yang perlu dilaksanakan. Allah s.w.t berfirman di dalam surah as-Shaff ayat 10-12 yang berbunyi:


Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar.


Surah as-Saff ayat 10 hingga 12 ini Allah s.w.t. menawarkan satu perniagaan yang bilamana kita melabur atau menerima pelawaan Allah ini kita tidak akan rugi sepertimana perniagaan yang kita jalankan. Perniagaan yang ditawarkan oleh Allah s.w.t kepada kita ini adalah untuk mendapatkan syurga Allah s.w.t diantara syarat-syarat untuk menerima perniagaan ini adalah perlunya taat kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dan berjihad dengan harta benda dan kemudian barulah dengan diri sendiri.

Sesungguhnya Pencipta sememangnya tahu dan masak dengan sifat makhluk yang diciptanya. Dan Penciptalah adalah tempat yang selayaknya untuk kita mengadu dan meminta nasihat. Kerana itulah bagi memudahkan kehidupan kita, Pencipta kita iaitu Allah s.w.t telah menurunkan “manual panduan manusia” iaitu kitab al-Quran yang seharusnya menjadi rujukan dan panduan bilamana kita terlupa, terlalai atau perlukan bantuan dalam setiap perkara kerana disitulah terdapatnya segala peringatan dan nasihat dari Pencipta kepada hambanya.

Sengaja Allah s.w.t meletakkan syarat untuk berjihad mestilah dimulakan dengan harta. Kerana manusia lebih sayangkan harta berbanding nyawa sendiri. Kerana Allah s.w.t maha mengetahui bahawa sifat makhluk ciptaanNya yang terlalu sayangkan harta berbanding nyawa, maka diletakkan syarat untuk berjihad mestilah dimulakan dengan mengorbankan benda yang paling disayangi dan paling susah untuk diberikan oleh manusia iaitu harta.

Untuk melihat kebenaran ini, mudahnya untuk kita lihat situasi masyarakat kita kini. Antaranya bilamana ada kes rompakan, manusia akan bermati-matian untuk mempertahankan hartanya bahkan sanggup mengadaikan nyawanya demi mempertahankan harta itu dari dirampas sehinggakan ada yang tercedera dan terkorban. Sama juga seperti kita, bahkan ana juga pernah melaluinya bilamana terjatuh dari motorsikal atau terlibat dengan kemalangan, perkara pertama yang akan dilihat dan persoalan yang akan ditimbulkan adalah berkenaan kerosakan motorsikal atau kereta tanpa menghiraukan anggota badan yang cedera atau terluka kerana lebih sayangkan harta berbanding nyawa yang mungkin hilang kerana kemalangan tersebut.

Selalu kita terlupa bahawa harta-harta itu adalah pinjaman dari Allah s.w.t kepada kita buat sementara waktu. Bahkan kita juga terlupa bahawa Allah s.w.t berhak untuk mengambilnya bila-bila masa tanpa perlu meminta kebenaran kepada kita. Tetapi sifat manusia, pelupa dan tidak sedar diri bahawa kita hidup di dunia ini adalah sebagai peminjam. Kita lupa bahawa setiap harta dan nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t di bumi ini akan dipersoalkan di mahsyar kelak. Dan kita terlupa bahawa ramai umat-umat terdahulu yang dibinasakan Allah s.w.t dengan harta dan kekayaan. Kita tahu dan kita pernah dengar, tetapi kita angkuh dan sengaja buat tidak tahu.

Harta boleh jadi satu kemudahan dan harta juga boleh menjadikan asbab kepada kita untuk ke arah kebinasaan dan kemurkaan Allah s.w.t. Ia akan jadi kebinasaan bilamana harta yang diperolehi itu tidak halal dan tidak disumbangkan ke jalan Allah s.w.t. Namun begitu, harta akan jadi satu kemudahan bilamana harta yang diperolehi itu digunakan dan dibelanjakan di jalan Allah s.w.t tanpa berkira dengan Allah s.w.t. sebab mereka yakin dan percaya dengan janji Allah s.w.t kerana rezeki adalah hak dan kuasa Allah s.w.t. Dia berhak untuk berikan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Sebab itulah orang-orang yang membelanjakan duit mereka di jalan Allah s.w.t tidak pernah ada yang mati kebuluran. Allah sentiasa permudahkan rezeki mereka walaupun habis semua harta mereka digunakan untuk kerja-kerja Allah s.w.t. Kekuatan mereka adalah janji Allah s.w.t bahawa syurga adalah tukaran untuk mereka yang berkerja di jalan Allah s.w.t. Kerana mereka yakin bahawa Hari Ini Kita Berjuang dan Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.