28 Dec 2009

Perjalanan Hidup Insan...

Sunnah Allah s.w.t di muka bumi ini ialah setiap perkara yang dijadikan Allah s.w.t sentiasa berpasang-pasangan. Diciptakan siang pasangannya malam, diciptakan matahari pasangannya bulan, diciptakan dosa pasangannya pahala dan diciptakan dunia pasangannya adalah akhirat. Namun sebelum menuju negeri akhirat yang abadi, alam barzakh adalah perhentian sebentar buat setiap hamba Allah s.w.t.

Fitrahnya, setiap manusia yang bernyawa pasti akan menemui kematian kerana kehidupan pasangannya adalah kematian. Larilah kemana, hatta sorokkan diri juga tidak mampu melarikan diri dari kematian. Kematian adalah bukti bahawa janji yang telah Allah sebutkan di dalam al-Quran. Sehebat mana, sekuat mana, sebesar mana pun pangkat dan darjat kita, bila tiba masanya janji Allah s.w.t akan dikotakan melalui malaikat maut.

Bagi mereka yang telah dijemput menemui Allah s.w.t, barzakh menjadi medan untuk berehat sebentar sebelum menuju negeri Akhirat. Amalan yang diamalkan sepanjang hidupnya dia di dunia menjadi teman dan pelindung di barzakh.

Bagi mereka yang masih bernyawa, kematian adalah satu peringatan bahawa apa yang dilalui oleh orang-orang yang terdahulu akan mereka lalui juga. Ia juga menjadi peringatan supaya mereka yang masih bernyawa ini untuk bersiap sedia menempuh alam yang sama. Bekerjalah bersungguh-sungguh demi akhirat yang kekal abadi dan yakinlah bahawa Hari Esok Sentiasa Untuk Islam!

Al-Fatihah buat almarhum ayahanda Anuar bin Nordin yang telah kembali menemui Allah pada hari Jumaat 8 Muharram 1434 bersamaan 25 Disember 2009. Mudah-mudahan rohnya dirahmati Allah.

Syah ad-Dharawi

23 Dec 2009

Nilai Cuti Seorang Da'ie...


Diari hidup seorang da’ie setiap masa dan setiap detik adalah cukup berharga. Pepatah melayu mengatakan masa itu emas, tapi ana rasakan ia tidak dengan sikap sambil lewa masyarakat muslim melayu yang selalu melengah-lengahkan masa. Ana suka mengambil pendekatan yang dibawa oleh para sahabat r.a. khususnya Saidina Umar al-Khattab r.a. yang pernah mengatakan bahawa masa itu ibarat pedang. Maka siapa yang terleka atau lalai akan dipotong oleh bilah pedang yang tajam itu.



Hari ini ana diberikan peluang untuk menikmati cuti sakit yang diberikan oleh doktor. Namun begitu apakah sebenarnya nilai M.C (medical certificate @ sijil cuti sakit) ini dalam diari hidup seorang yang mengakui bahawa dirinya adalah seorang pejuang Islam? Adakah cuti yang diberikan itu dimanfaatkan sebaiknya atau sekadar duduk di rumah dan berehat semata-mata? Ada orang yang memanfaatkan m.c itu untuk kerja-kerja dakwah dan ada pula orang yang mengambil kesempatan untuk berehat. Terpulang pada diri masing-masing.



Ana teringat beberapa pesanan dari naqib ana yang membuatkan ana terkesan hingga ke hari ini. Antara nasihatnya ”dalam diari seorang da’ie tidak ada istilah cuti rehat. Kalau nak cuti rehat dari berjuang, minta dengan Allah...” makna mudahnya untuk difahami, tidak ada istilah rehat bagi seorang yang mengakui dirinya da’ie kecuali dia ditakdirkan mati atau syahid. Itulah rehat bagi seorang da’ie.



Pernah seketika ana hilang arah tujuan atau erti kata mudahnya ”bengong” untuk dua minggu kerana sunyi dan tidak menghadiri sebarang program. Baru dua minggu cuti dari program, hati jadi berat untuk aktif semula berprogram. Tapi alhamdulillah, ukhuwwah yang dibina menjadi penyelamat dan penguat semangat untuk teruskan perjuangan. Ana cukup berterima kasih kepada seorang sahabat yang ana anggap seperti seorang abang pada ana yang cukup mengambil berat tentang kebajikan ana. Baru tiga hari ana senyap sunyi tanpa berita, dia terus hubungi dan bertanya khabar. Allahu Akbar! Itulah nikmat ukhuwwah di dalam perjuangan. Tanpa ukhuwwah dan sahabat-sahabat, mungkin ana telah hanyut dan jauh dari perjuangan. Nauzubillahiminzalik!



Satu pengalaman yang ingin dikongsi adalah pengalaman salah seorang pimpinan tertinggi, yang pernah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Sudah menjadi kelaziman, bilamana kita berkata tentang kebenaran, pastinya akan mendapat tentangan. Itu adalah sunnatullah, tanpa penentangan tidak ada kemanisan dalam berjuang. Pimpinan ini menyangka bahawa bila dimasukkan ke dalam penjara, itu adalah peluang untuk bercuti dari perjuangan, namun sangkaannya meleset. Di dalam penjara itulah menjadi medan untuknya berdakwah kepada banduan-banduan dengan menanamkan fikrah Islamiyyah ke dalam jiwa mereka. SubhanAllah! Dalam penjara boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan dakwah, sayangnya jika kita yang bebas dan tidak ada kekangan tidak dapat nak berdakwah. Cukup sayang!



Betulah kata orang, da’ie bila dicampak kemana-mana, tetap akan melaksanakan tugasnya sebagai seorang da’ie. Maka selagi hayat dikandung badan, selagi darah masih mengalir, selagi jantung masih berdenyut, hidup ini hanyalah untuk berjuang di jalan Allah. Al-Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa umur manusia dibahagi kepada 3 saat iaitu, 1 saat yang telah berlalu dan tidak dapat kembali, 1 saat kini yang sedang kita lalui dan 1 saat yang akan datang iaitu rahsia Allah s.w.t. Rahsia yang Allah sembunyikan tiada siapa pun yang tahu. Hanya Allah yang mengetahuinya, maka moleklah kiranya kita sentiasa bersiap sedia kerana ajal tidak mengenal umur, harta, pangkat dan darjat. Bila tiba saatnya Malaikat Maut tidak akan mempercepatkannya dan tidak melambatkannya walau sedetik! Maka sentiasalah berwaspada dan bersiap sedia menanti saat itu!



Sebab itulah tidak ada istilah rehat atau cuti dalam diari hidup seorang da’ie kerana setiap saat, setiap waktu yang dilalui perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya tidak dipersoalkan oleh Allah di mahkamah mahsyar nanti. Walau apa pun yang terjadi, walau apa pun rintangan yang mendatang pastikanlah diri ini mati dalam perjuangan Islam. Walau manusia membenci, walau manusia mencaci, hari esok adalah untuk Islam!



Syah ad-Dharawi



22 Dec 2009

Hari Esok Untuk Islam...

Salam alayk... lagu ini ana kongsikan dengan sahabat-sahabat... liriknya cukup bermakna... ana dapat lagu ni 2 tahun yang lepas semasa program di Bandar Tasik Puteri, Rawang dari seorang saintis geologi berfikrah Haluan. Hayati lirik lagu Hari Esok Untuk Islam yang dinyanyikan oleh pelajar Qisas ini:

Hari esok untuk Islam,
Hari ini kita berjuang,
Menegakkan kebenaran,
Walau manusia membenci,
Walau manusia mencaci,
Hari esok untuk Islam,

Yakinlah wahai pejuang,
Hari esok untuk Islam,
Bekalkan dirimu Ilmu dan Iman,
Itulah tenaga kejayaan,

Wahai teman sejati,
Sambutlah kebangkitan ini,
Bumi yang gelap sama disinari,
Dengan cahaya Din yang suci,
Wahai teman sejati,
Bantulah perjuangan ini,
Bumi yang gelap sama disinari,
Dengan cahaya Din yang suci,

Setiap kebatilan pasti kan hilang,
Setiap kebenaran pasti kan menang (2x),

Yakinlah wahai pejuang,
Jahiliyyah pasti diruntuhkan,
Islam kan kembali gemilang,
Hari esok untuk Islam,
Hari esok untuk Islam,
Hari esok untuk Islam…


Fitrah orang yang berjuang pasti ada mehnah dan tribulasi namun apapun yang terjadi, ingatlah dan yakinlah walau manusia membenci, walau manusia mencaci, HARI ESOK ADALAH UNTUK ISLAM!!!

Syah ad-Dharawi

21 Dec 2009

Sepetang di Masjid Putra, Putrajaya


Al-Fatihah atas pemergian adik sepupu ana pada 19 Disember 2009 kerana menghidap barah otak. Semoga Allah merahmati rohnya.

Sahabat2, apa yang hendak dikongsikan disini bukanlah kesedihan diatas pemergian adik sepupu ana. Yang telah berlaku biarkan ia berlalu, namun renungan untuk kita yang masih bernyawa dan menikmati nikmat yang Allah berikan dimuka bumi ini.

Baru-baru ini, ana berpeluang untuk menziarahi jenazah dan sembahyangkan jenazah adik sepupu ana. Namun selepas selesai solat dan bila diamati semula, lahir rasa kekecewaan di dalam diri bilamana melihat suasana di sekitar yang berlaku di Masjid Putra, Putrajaya. Masjid yang tersergam indah ini dicemari oleh umat Islam yang jahil dan sudah hilang sifat malu dalam dirinya.

Apa yang dikesalkan adalah melihat sikap masyarakat kita kini yang mengambil mudah perihal agama, terutamanya bab aurat sedangkan al-Quran jelas menyatakan perihal berpakaian seorang wanita. Tetapi perintah Allah itu diambil mudah dan dipandang ringan, lahir rasa kecewa dan hampa bilamana melihat jubah-jubah yang disediakan untuk pelancong yang berwarna merah jambu disarung oleh wanita-wanita yang bertudung. Ana dimaklumkan jubah merah jambu adalah untuk orang bukan Islam dan biru untuk orang Islam.

Si gadis si emak tersebut menyarungkan jubah berwarna merah jambu kerana jubah berwarna biru tidak mencukupi. Tidak ke terfikir si gadis dan si emak yang taraf mereka sebagai seorang muslim telah diletakkan sama seperti orang KAFIR!? Si gadis dan si emak ini diberikan jubah tersebut kerana pakaianya menampakkan lengan dan tulang dadanya termasuklah baju yang menampakkan susuk badannya. Emak borek, ana rintik. MasyaAllah.

Tambah mengecewakan bila datang ke rumah Allah semata-mata untuk bergambar dan melancong. Bila azan ‘asar berkumandang, keluarga tersebut tergesa-gesa bukan untuk menyahut seruan Allah, tetapi lari keluar dari masjid untuk bergambar di luar pula. Mungkin kedua-duanya uzur syarie'. Itulah bahananya bila masjid dijadikan tempat perlancongan dan bukan tempat untuk beribadah.

Lagi menyedihkan bila jenazah adik sepupu yang diiring keluar diganggu oleh pelancong-pelancong asing yang sibuk untuk bergambar. Seolah-olah kesedihan yang dirundung oleh keluarga ini satu pesta buat mereka. Allahu Akbar! Pengawal terpaksa menghalang dan berkeras supaya jenazah tidak diganggu.

Sedihnya hati bila melihat masjid-masjid dijadikan pusat perlancongan, dikunjungi oleh pelancong tetapi tidak oleh orang muslim sendiri. Program hiburan di lambakkan tetapi, suara-suara kebenaran Islam disekat dan dihalang. Masyarakat terus ditipu. Terus menjadi jahil bilamana kebenaran Islam tidak disampaikan. Inilah hasil dari sikap mengambil mudah tuntutan agama dan tidak mahu mencari kebenaran. Na’uzubillahiminzalik.

Syah ad-Dharawi

Salam Ta'aruf...

salam alayk...

ikhwah dan akhawat... semoga dgn kewujudan blog ini dapat membantu mengembangkan ilmu dan dakwah... pandangan dan lontaran idea dari sahabat2 adalah dialu2kan...

syah ad-dharawi
 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.