7 Jan 2010

Anai-anai oh Anai-anai!

Setiap makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t di muka bumi ini ada hikmahnya. Setiap dari mereka pastinya ada sebab kenapa dan mengapa Allah ciptakan mereka. Dan dalam setiap perkara yang Allah jadikan pasti tidak lari dari diselitkan hikmah kejadian itu. Hatta, khinzir yang diharamkan itu jua ada hikmahnya kenapa Allah s.w.t jadikannya. Allah s.w.t tidak menciptakan sesuatu itu untuk tujuan sia-sia. Hanya manusia yang selalu membuat kerja yang sia-sia.
Petang semalam, Alhamdulillah tiba awal sedikit berbanding hari-hari biasa. Setibanya di rumah tiba-tiba terdengar satu bunyi yang agak biasa di dengari. Bila diamati, tahulah bahawa bunyi tersebut adalah bunyi anai-anai yang sedang berkerja di atas siling rumah, almaklumlah rumah dah berusia 31 tahun pastinya banyak khazanah dan haiwan-haiwan bersejarah.

Namun, bila di amati apa yang terjadi di siling rumah seakan-akan sama dengan keadaan sekarang. Permukaan luar kayu tersebut masih elok dan cantik, tapi bila di buka bahagian dalamnya, MasyaAllah kosong akhirnya kayu tersebut. Rupa-rupanya permukaan yang elok diluar sekadar untuk melindungi perbuatan ana-anai tersebut di dalam kayu tersebut.

Itulah hakikatnya, memang sifat anai-anai begitu. Namun, apa yang menyedihkan ialah bilamana terdapat individu-individu yang mengaku dirinya muslim, mengaku dirinya pejuang Islam mempunyai sifat yang sama seperti anai-anai ini. Istilah anai-anai ini bukannya baru, tetapi telah wujud di zaman Rasulullah s.a.w. Mereka banyak membuat perancangan-perancangan yang sulit dengan niat sengaja hendak menjatuhkan maruah Islam.

Sebab itulah timbulnya kaum munafiq pada zaman Rasulullah s.a.w. Mereka ini cukup pandai berpura-pura bahkan pernah solat dibelakang Rasulullah s.a.w yang menjadi imam ketika itu. Namun di saat-saat kewafatan Rasulullah s.a.w. baginda pernah memanggil Saidina Huzaifah r.a. dan baginda sebut satu persatu nama golongan munafiq ini. Dikalangan sahabat-sahabat hanyalah Saidina Huzaifah ini yang menjadi pedoman.

Ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab yang pernah menyediakan satu senarai nama untuk kabinet kerajaan pentadbirannya. Beliau memanggil Saidina Huzaifah dan meminta beliau untuk menyemak senarai nama tersebut sekiranya terdapat orang munafiq didalamnya. Maka Saidina Huzaifah meneliti senarai tersebut dan menyerahkannya kembali dengan mengatakan terdapat dua nama orang munafiq di dalam senarai itu tanpa dinyatakan siapakah orang tersebut.

Maka Saidina Umar, dengan segera menukar nama-nama yang terdapat di dalam senarai itu dan diserahkan semula esoknya untuk diteliti oleh Saidina Huzaifah. Maka selepas diteliti, Saidina Huzaifah memaklumkan tiada orang munafiq didalamnya dan beliau bertanya kepada Saidina Umar, siapakah yang dikeluarkan dari senarai ini. Maka Saidina Umar menjawab, aku tidak tahu. Aku terlalu takut kepada orang munafiq ini. Kerana mereka akan menyebabkan umat Islam berpecah belah!

Begitulah bahayanya golongan munafiq ini. Jika dilihat kepada sirah para sahabat, bagaimana Saidina Uthman ibn Affan dibunuh juga melibatkan perancangan golonga munafiq ini yang mana rentetan dari pembunuhan itu, membawa kepada perpecahan umat Islam kepada 4 golongan. Begitulah bahayanya golongan munafiq ini. Maka satu persoalan ditimbulkan, tidakkah sama golongan-golongan pengkhianat kini dengan golongan pengkhianat pada zaman Rasulullah dan para sahabat dahulu?

Mereka berpura-pura berjuang, tetapi hakikatnya didalam mereka berjuang itu, telah diadakan perancangan untuk menjatuhkan orang lain. Kononnya matlamat mereka adalah untuk memajukan dan memodenkan Islam tetapi mereka lakukan secara sulit dan tersembunyi. Kononnya untuk kebaikan Islam tetapi hakikatnya merekalah menjadi asbab lemahnya Islam dan berpecahnya Islam. Ingatlah, firman Allah di dalam surah al-An’am ayat 159:

bahawasanya orang-orang Yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan Yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah Engkau terkait sedikitpun Dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. kemudian ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa Yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).


Lihatlah kembali kepada setiap perbuatan kita, kita masih baru dalam medan ini. Masih muda dan masih kurang pengalaman. Hormatilah orang-orang yang lebih berilmu dan berpengalaman kerana mereka ini telah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam mempertahankan Islam ini. Ilmu kita baru sedikit tetapi telah berani dan dengan lantangnya mengatakan orang terdahulu cetek ilmu.

Sekiranya beginilah sikap orang yang mengakui mereka memperjuangkan Islam, dengan sikap yang angkuh. Gilakan pengaruh, kuasa dan pangkat. Rasakan diri terlalu hebat dan berilmu dari Ulama’-ulama’, masih adakah Hari Esok Untuk Islam? Tepuk dada tanya iman.

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.