
"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah). dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai, maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat". Surah an-Nasr: 1-3
Surah an-Nashr boleh dikatakan surah yang agak pendek tetapi membawa pengertian yang cukup besar pada seluruh umat Islam. Surah ini menceritakan perihal pembukaan Kota Makkah, sebagai satu sejarah bahawa jahiliyyah diruntuhkan seruntuh-runtuhnya dan Islam ditegakkan diatas keruntuhan tersebut. Satu sejarah dimana Islam berjaya menumpaskan jahiliyyah yang selama ini bertapak di Tanah Suci Makkah.
Al-Quran adalah mukjizat yang mana ia bersifat waqi’ah atau bersifat semasa. Sungguhpun ia diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, tetapi intipatinya tidak lapuk dan tidak ketinggalan zaman. Walaupun ia diturunkan pada zaman nubuwwah, tetapi al-Quran masih lagi relevan dan sepatutnya dijadikan panduan dan pedoman.

Semalam Allah s.w.t uji diri ini dengan sedikit kesakitan. Leher terseliuh membuatkan sukar untuk ana berpaling dan menundukkan kepala. Satu peristiwa yang menjadi ingatan dan satu perbandingan yang seharusnya kita lihat dari perspektif dakwah. Tauke cina yang beragama buddha menjual ubat mampu melafazkan kalimah “Lailahaillah Muhammad Rasulullah” ketika ana melakukan proses tawar menawar. MasyaAllah! Dari segi lisannya dia sepatunya menjadi muslim namun begitu, dia melafazkan tanpa kefahaman dan bukan atas rela hati.
Kita dapat lihat dari situasi ini, sungguhpun al-Quran ini dibuang dan diketepikan oleh orang Islam, namun golonga-golongan bukan Islam yang seharusnya dikategorikan sebagai mad’u mula menerima Islam sedikit demi sedikit. Prejudis Islamophobia mula dihakis sedikit demi sedikit. Bahkan golongan ini yang lebih menghargai Islam berbanding orang Islam itu sendiri. Fenomena ini bukanlah satu fenomena luar biasa, tetapi inilah kebenaran apa yang telah diceritakan di dalam al-Quran. Janji Allah s.w.t pasti jadi kenyataan!

Salah satu faktor yang menjadi asbab kepada penerimaan Islam adalah keadilan yang dibawa bersama-samanya. Sungguhpun mereka ini tidak beriman dengan Islam, tetapi mereka berasa selesa dan aman dibawah naungan Islam kerana, disitu ada keadilan buat mereka. Dengan keadilan inilah yang menjadi dakwah dan faktor untuk mereka sayang kepada Islam dan akhirnya memeluk dan membela agama Islam.
Sebab itulah tidak mustahil bahawa suatu hari nanti, disebabkan kita yang mengambil mudah dn tidak mahu kepada Islam, mungkin mereka inilah yang akan membela agama Islam! Maka yakinlah sahabat-sahabat Islam kan kembali gemilang, Hari Esok Untuk Islam!
Syah ad-Dharawi
0 comments:
Post a Comment