19 Apr 2010

Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan Mama & Abah...

Salam 'alayk...

Selamat menyambut hari ulangtahun perkahwinan yang ke 35 buat mama, Pn. Hajjah Hanipah Mat Daud dan Abah, Tn. Haji Shamsudin Haji Mohd. Ramly pada 13 April 2010 yang lalu. semoga Allah s.w.t kurniakan kesihatan dan panjangkan umur mama dan abah. Nikmat yang Allah s.w.t berikan iaitu nikmat ayah dan ibu amat-amat bermakna.


"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa mereka, dan kasihanilah mereka sepertimana mereka telah mengasihani aku sewaktu aku kecil dahulu". Tanpa mereka siapalah kita.


Yakinlah mama dan abah, jahiliyyah pasti diruntuhkan dan Islam kan kembali gemilang, Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

Peperiksaan Yang Menyeksakan...

Salam 'alayk...


(25) Nabi Musa berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku (26) "Dan mudahkanlah bagiku, tugasku (27) "Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, (28) "Supaya mereka faham perkataanku. (Surah Taahaa, ayat: 25-28)

Musim peperiksaan kini menjelang tiba. Disinilah dapat kita lihat, individu yang tidak pernah membelek buku, tiba-tiba menjadi rajin. Dan di saat ini jugalah dapat kita lihat perangai pelajar-pelajar universiti yang gemar membuat kerja di saat-saat akhir bertungkus-lumus menyiapkan tugasan-tugasan yang diberi. Sedangkan masa yang diberikan sangat mencukupi, tetapi memang sifat manusia itu suka bertangguh dan akhirnya di saat-saat akhir menjadi kelam kabut. Pada masa inilah kemanisan berkata-kata menjadi senjata yang paling ampuh untuk memujuk pensyarah agar dapat bertimbang rasa.

Kebetulan walaupun sudah tamat pengajian di alam universiti, tetapi masih lagi Allah s.w.t. berikan peluang untuk bersama-sama dengan golongan mahasiswa ini. Cumanya alam itu telah berbeza. Tidak lagi menjadi seorang pelajar, tetapi menjadi seorang pegawai di universiti. Kadang-kadang geli hati dan tertawa sendirian bilamana melihat suasana ni tempat kerja. Suasana seorang pelajar memujuk pensyarahnya kerana projeknya tidak siap pada tarikh yang telah ditetapkan. Pelbagai alasan dilontarkan namun tidak berjaya memujuk pensyarah itu.

Saat itu tiba-tiba terkenang zaman sewaktu belajar dahulu. Kata-kata dari Ustaz Rasid Muhammad pensyarah sewaktu belajar dahulu cukup memberi makna yang mendalam dan membuatkan saya berfikir jauh tentang apa yang cuba di sampaikan. Katanya peperiksaan ini satu perkara yang zalim, kefahaman manusia ini diuji dengan markah dan akhirnya hanya mendapat sekeping kertas yang dipanggil ijazah. Namun apakah hikmahnya diadakan peperiksaan ini?

Tujuannya adalah tidak lain tidak, adalah untuk melihat kemampuan dan kefahaman kita. Apakah ada kita berusaha untuk mendapatkan gred yang cemerlang? Adakah gred yang cemerlang itu akan berhasil tanpa usaha yang cemerlang? Disitulah berbalik kepada konsep yang Islam tekankan “matlamat tidak menghalalkan cara”. Sesetengah individu mungkin mengejar gred yang tinggi dengan menipu, meniru dan sebagainya. Dia akan mendapat gred yang tinggi tetapi tidak ada berkat disitu. Berlainan dengan individu yang mengejar gred yang tinggi tetapi dalam masa yang sama dia berusaha bersungguh-sungguh maka Allah s.w.t ganjarkan balasan yang selayaknya dengan usaha yang telah diberikan.

Tidakkah kita terfikir mengapakah kita mendapat gred yang rendah? Cuba kita imbas kembali atau muhasabah kembali. Lihat kepada usaha yang telah kita berikan untuk mendapatkan gred tersebut. Sekiranya kita imbas kembali, pastinya kita bersetuju mengapa Allah s.w.t tidak berikan kita gred yang cemerlang. Usaha yang telah kita berikan itu, adalah setimpal dengan keputusan yang kita perolehi. Maka siapakah yang perlu dipersalahkan sekiranya kita mendapat gred yang rendah? Tepuk dada tanya iman diri sendiri.

Keadilan yang telah Allah s.w.t berikan adalah sama rata. Kalau dahulu zaman imam-imam muktabar dan ulama’-ulama’ muktabar, Allah s.w.t sukarkan mereka untuk menuntut ilmu. Mereka terpaksa berkelana beribu-ribu batu untuk mendapatkan satu-satu ilmu itu. Tetapi, sungguhpun Allah s.w.t sukarkan mereka untuk mendapat ilmu, Allah s.w.t permudahkan mereka untuk memahami dan mengingati ilmu itu sehinggakan al-Imam as-Syafie pernah digelarkan sebagai otak “mesin fotostat” kerana setiap apa yang dibacanya akan terus diingati dan lekat di kepalanya. SubhanaAllah!

Berlainan dengan situasi kita, Allah s.w.t permudahkan kita untuk mendapatkan ilmu tetapi Allah s.w.t sukarkan kita untuk mengingati ilmu tersebut. Kita tidak perlu mengembara beribu-ribu batu untuk mendapatkan ilmu seperti ulama’-ulama’ muktabar pada zaman dahulu. Tetapi turun sahaja dari kolej, perpustakaan, bilik kuliah dan bilik pensyarah ada di depan mata. Allah s.w.t permudahkan kita untuk mencari ilmu, tetapi Allah s.w.t sukarkan kita untuk menghafalnya. Walaupun ilmu itu mudah untuk diperolehi tetapi sukar untuk kita mengingatinya.

Disitulah keadilan yang Allah s.w.t berikan kepada setiap hambanya yang tidak mampu kita persoalkan bahkan Allah s.w.t yang akan menyoal kita kembali dengan keadilannya itu. Namun begitu, tidak bermakna bahawa kita perlu berputus asa. Usaha adalah tangga kejayaan. Bahkan di mahsyar nanti, Allah s.w.t tidak bertanyakan tentang hasil, tetapi ada atau tidak usaha diletakkan untuk mencapai hasil itu. Berusahalah bersungguh-sungguh sekiranya kita mengidamkan gred yang cemerlang. Hasil yang baik tidak akan datang tanpa adanya usaha yang gigih.

Akhirnya, khusus buat sahabat2 yang sedang menduduki peperiksaan akhir semester. Lakukanlah ia dengan telus dan ikhlas. Sungguhpun kita tidak dapat keputusan atau gred yang cemerlang tetapi yakinlah sekiranya kita lakukan ia dengan jujur pastinya berkat ilmu itu ada bersama-sama kita. Teruskan perjuangan sahabat-sahabat dengan lafaz “sirrul ‘ala barakatillah” dan ingatlah matlamat dan cita-cita yang seharusnya ada pada setiap muslim adalah berjaya di dunia dan juga berjaya di akhirat. Ingatlah hari ini kita berjuang, dan pastinya hari esok untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.