29 Jan 2010

Harta oh Harta...

Salam ‘alayk. Lama agaknya tak update penulisan dalam blog ini. Kebetulan masa agak terbatas dengan pembahagian antara kerja dan tugas sebagai da’ie. Namun walau apa pun, dakwah adalah satu kemestian yang perlu dilaksanakan. Allah s.w.t berfirman di dalam surah as-Shaff ayat 10-12 yang berbunyi:


Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar.


Surah as-Saff ayat 10 hingga 12 ini Allah s.w.t. menawarkan satu perniagaan yang bilamana kita melabur atau menerima pelawaan Allah ini kita tidak akan rugi sepertimana perniagaan yang kita jalankan. Perniagaan yang ditawarkan oleh Allah s.w.t kepada kita ini adalah untuk mendapatkan syurga Allah s.w.t diantara syarat-syarat untuk menerima perniagaan ini adalah perlunya taat kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dan berjihad dengan harta benda dan kemudian barulah dengan diri sendiri.

Sesungguhnya Pencipta sememangnya tahu dan masak dengan sifat makhluk yang diciptanya. Dan Penciptalah adalah tempat yang selayaknya untuk kita mengadu dan meminta nasihat. Kerana itulah bagi memudahkan kehidupan kita, Pencipta kita iaitu Allah s.w.t telah menurunkan “manual panduan manusia” iaitu kitab al-Quran yang seharusnya menjadi rujukan dan panduan bilamana kita terlupa, terlalai atau perlukan bantuan dalam setiap perkara kerana disitulah terdapatnya segala peringatan dan nasihat dari Pencipta kepada hambanya.

Sengaja Allah s.w.t meletakkan syarat untuk berjihad mestilah dimulakan dengan harta. Kerana manusia lebih sayangkan harta berbanding nyawa sendiri. Kerana Allah s.w.t maha mengetahui bahawa sifat makhluk ciptaanNya yang terlalu sayangkan harta berbanding nyawa, maka diletakkan syarat untuk berjihad mestilah dimulakan dengan mengorbankan benda yang paling disayangi dan paling susah untuk diberikan oleh manusia iaitu harta.

Untuk melihat kebenaran ini, mudahnya untuk kita lihat situasi masyarakat kita kini. Antaranya bilamana ada kes rompakan, manusia akan bermati-matian untuk mempertahankan hartanya bahkan sanggup mengadaikan nyawanya demi mempertahankan harta itu dari dirampas sehinggakan ada yang tercedera dan terkorban. Sama juga seperti kita, bahkan ana juga pernah melaluinya bilamana terjatuh dari motorsikal atau terlibat dengan kemalangan, perkara pertama yang akan dilihat dan persoalan yang akan ditimbulkan adalah berkenaan kerosakan motorsikal atau kereta tanpa menghiraukan anggota badan yang cedera atau terluka kerana lebih sayangkan harta berbanding nyawa yang mungkin hilang kerana kemalangan tersebut.

Selalu kita terlupa bahawa harta-harta itu adalah pinjaman dari Allah s.w.t kepada kita buat sementara waktu. Bahkan kita juga terlupa bahawa Allah s.w.t berhak untuk mengambilnya bila-bila masa tanpa perlu meminta kebenaran kepada kita. Tetapi sifat manusia, pelupa dan tidak sedar diri bahawa kita hidup di dunia ini adalah sebagai peminjam. Kita lupa bahawa setiap harta dan nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t di bumi ini akan dipersoalkan di mahsyar kelak. Dan kita terlupa bahawa ramai umat-umat terdahulu yang dibinasakan Allah s.w.t dengan harta dan kekayaan. Kita tahu dan kita pernah dengar, tetapi kita angkuh dan sengaja buat tidak tahu.

Harta boleh jadi satu kemudahan dan harta juga boleh menjadikan asbab kepada kita untuk ke arah kebinasaan dan kemurkaan Allah s.w.t. Ia akan jadi kebinasaan bilamana harta yang diperolehi itu tidak halal dan tidak disumbangkan ke jalan Allah s.w.t. Namun begitu, harta akan jadi satu kemudahan bilamana harta yang diperolehi itu digunakan dan dibelanjakan di jalan Allah s.w.t tanpa berkira dengan Allah s.w.t. sebab mereka yakin dan percaya dengan janji Allah s.w.t kerana rezeki adalah hak dan kuasa Allah s.w.t. Dia berhak untuk berikan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Sebab itulah orang-orang yang membelanjakan duit mereka di jalan Allah s.w.t tidak pernah ada yang mati kebuluran. Allah sentiasa permudahkan rezeki mereka walaupun habis semua harta mereka digunakan untuk kerja-kerja Allah s.w.t. Kekuatan mereka adalah janji Allah s.w.t bahawa syurga adalah tukaran untuk mereka yang berkerja di jalan Allah s.w.t. Kerana mereka yakin bahawa Hari Ini Kita Berjuang dan Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

20 Jan 2010

Ya Allah... Beratnya UjianMu Ini...


Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Begitulah fitrahnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lisan mudah untuk berkata-kata, jari mudah untuk menaip perkataan demi perkataan. Namun tak siapa yang tahu apakah yang tersirat disebalik ayat yang diturunkan oleh Allah ini. Syurga yang dijanjikan oleh Allah s.w.t itu tidaklah semudah yang disangka untuk kita kecapi kerana pelbagai rintangan dan dugaan telah disediakan untuk kita. Tujuannya bukan untuk menyusahkan kita tetapi untuk menguji sejauhmana keyakinan dan pergantungan kita pada Allah s.w.t.

Mehnah dan tribulasi sememangnya telah disediakan untuk orang-orang yang mengakui bahawa mereka ini berjuang atau beriman. Sunnatullah siapa yang berjuang, semestinya ada dugaan dan cabaran yang menanti. Agak pelik dan menghairankan bilamana terdapat orang yang mengakui mereka berjuang menegakkan kebenaran tetapi tidak ada sebarang cubaan dan dugaan di sepanjang perjalanannya. Bahkan, disepanjang perjuangannya itu dihamparkan dengan permaidani merah dan harta kekayaan. Pelik, kerana kebenaran itu sentiasa bercanggah dengan kebatilan.

Cumanya tahap-tahap dan bentuk dugaan yang diberikan adalah berbeza. Namun begitu, keadilan dan kebijaksanaan Allah s.w.t, ujian yang diberikan adalah sesuai dan mampu kita hadapi. Tidak pernah Allah s.w.t bersifat kejam dengan memberikan hambanya ujian yang tidak mampu diselesaikan. Itulah kebijaksanaan Allah. Bahkan syaitan yang mendampingi kita juga mengikut tangga iman masing-masing. Sekiranya iman itu kuat atau tinggi maka syaitan yang akan mendampingi adalah syaitan yang kuat, sekiranya iman itu lemah, maka syaitan yang mendampingi itu adalah syaitan yang “low class”.

Sebab itulah bagi orang-orang yang berjuang, bilamana ditimpa ujian atau dugaan mereka rasakan itu adalah satu kemanisan iman. Tidak ada kemanisan dalam berjuang sekiranya tidak diuji atau diberi dugaan. Bila kesabaran dan keimanan dijadikan pedoman untuk menghadapinya insyaAllah Taqwa menjadi balasan. Taqwa menjadi penentuukur, bila jiwa merasakan ujian itu satu kemanisan iman maka mereka akan hadapinya dengan tenang dan sabar. Bahkan dengan ujian tersebutlah yang menyebabkan mereka semakin hampir dan dekat pada Allah s.w.t. Dan bila tiba saat itu, setiap ujan yang mendatang akan dihadapi dengan tenang dan sabar. Kerana jiwanya, imannya telah betul-betul mantap untuk menghadapi sebarang bentuk cubaan yang mendatang.

Sebab mereka berjuang kerana Allah s.w.t dan mereka yakin walau manusia membenci, walau manusia mencaci, mereka yakin bahawa Hari Ini Kita Berjuang dan Hari Esok untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

14 Jan 2010

Bunga-bunga Kemenangan Islam...



"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah). dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai, maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat". Surah an-Nasr: 1-3


Surah an-Nashr boleh dikatakan surah yang agak pendek tetapi membawa pengertian yang cukup besar pada seluruh umat Islam. Surah ini menceritakan perihal pembukaan Kota Makkah, sebagai satu sejarah bahawa jahiliyyah diruntuhkan seruntuh-runtuhnya dan Islam ditegakkan diatas keruntuhan tersebut. Satu sejarah dimana Islam berjaya menumpaskan jahiliyyah yang selama ini bertapak di Tanah Suci Makkah.

Al-Quran adalah mukjizat yang mana ia bersifat waqi’ah atau bersifat semasa. Sungguhpun ia diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, tetapi intipatinya tidak lapuk dan tidak ketinggalan zaman. Walaupun ia diturunkan pada zaman nubuwwah, tetapi al-Quran masih lagi relevan dan sepatutnya dijadikan panduan dan pedoman.

Namun begitu, sayangnya al-Quran ini hanyalah sekadar dibuat bahan pameran atau sebagai
pelengkap hiasan di rumah-rumah Allah s.w.t atau di dinding-dinding rumah. Agak sukar untuk mencari orang yang betul-betul mengamalkannya dari membaca sehinggalah melaksanakan segala tuntutan di dalam al-Quran itu. Ada satu golongan yang tergolong di dalam golongan ini, namun bilangannya terlalu sedikit berbanding dengan bilangn orang yang kufur dan ingkar pada arahan Allah s.w.t.

Semalam Allah s.w.t uji diri ini dengan sedikit kesakitan. Leher terseliuh membuatkan sukar untuk ana berpaling dan menundukkan kepala. Satu peristiwa yang menjadi ingatan dan satu perbandingan yang seharusnya kita lihat dari perspektif dakwah. Tauke cina yang beragama buddha menjual ubat mampu melafazkan kalimah “Lailahaillah Muhammad Rasulullah” ketika ana melakukan proses tawar menawar. MasyaAllah! Dari segi lisannya dia sepatunya menjadi muslim namun begitu, dia melafazkan tanpa kefahaman dan bukan atas rela hati.

Kita dapat lihat dari situasi ini, sungguhpun al-Quran ini dibuang dan diketepikan oleh orang Islam, namun golonga-golongan bukan Islam yang seharusnya dikategorikan sebagai mad’u mula menerima Islam sedikit demi sedikit. Prejudis Islamophobia mula dihakis sedikit demi sedikit. Bahkan golongan ini yang lebih menghargai Islam berbanding orang Islam itu sendiri. Fenomena ini bukanlah satu fenomena luar biasa, tetapi inilah kebenaran apa yang telah diceritakan di dalam al-Quran. Janji Allah s.w.t pasti jadi kenyataan!

Salah satu faktor yang menjadi asbab kepada penerimaan Islam adalah keadilan yang dibawa bersama-samanya. Sungguhpun mereka ini tidak beriman dengan Islam, tetapi mereka berasa selesa dan aman dibawah naungan Islam kerana, disitu ada keadilan buat mereka. Dengan keadilan inilah yang menjadi dakwah dan faktor untuk mereka sayang kepada Islam dan akhirnya memeluk dan membela agama Islam.

Sebab itulah tidak mustahil bahawa suatu hari nanti, disebabkan kita yang mengambil mudah dn tidak mahu kepada Islam, mungkin mereka inilah yang akan membela agama Islam! Maka yakinlah sahabat-sahabat Islam kan kembali gemilang, Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

13 Jan 2010

Khazanah Ilmu...

Salam alayk...


Alhamdulillah, hari ini adalah hari yang bermakna buat ana. Ana dapat melihat khazanah ilmu yang cukup berharga buat umat Islam. Kebetulan seorang rakan staff di jabatan ana, singgah sebentar untuk tunjukkan khazanah ilmu yang berusia hampir 500 tahun ini. Ana lampirkan beberapa keping gambar untuk tatapan sahabat-sahabat. Kitab ini berharga hampir 2 Juta ringgit kalau di pasaran luar, namun dijual kepada pejabat Naib Canselor UPM dengan harga RM50,000.00.

Kitab yang berbalut kain yang ditenun. Fabriknya seperti kain songket. Masih elok cuma reput sedikit sahaja.



Mukasurat permulaan kitab. Rosak sedikit namun dakwatnya masih jelas kelihatan.



Intipati di dalam kitab



Intipati di dalam kitab




Intipati di dalam kitab


Muka surat terakhir yang rosak sedikit mungkin sebab
faktor usianya yang menjangkau 500tahun


Menurut penerangan seorang Profesor di jabatan ana, dakwat yang digunakan adalah berasal dari minyak zaitun dan juga akar pokok mengkudu. Walaupun sudah berusia 500 tahun, namun khazanah ini masih elok dan cantik. Kertasnya masih kukuh dan tebal, cuma bahagian tepi dan luarannya sedikit rosak mungkin kerana dimakan usia. Tulisan di dalam kitab ini ditulis menggunakan tangan dan bukannya mesin cetak.

Sekiranya dapat dihimpunkan kembali khazanah-khazanah ilmu ini, pastinya Islam kembali gemilang dan pastinya Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

Nikmat Yang Disalahguna...

Nikmat, satu perkataan yang tidak dapat diolah atau dihuraikan dengan kata-kata. Kadang-kadang ia hanya dapat digambarkan melalui ekspresi muka dan luahan perasaan. Namun begitu, sedarkan kita bahawa setiap saat setiap masa kita berada dalam nikmat Allah s.w.t. tiba-tiba terfikir dan terdetik di hati tentang banyaknya nikmat yang Allah s.w.t berikan pada setiap hambanya.

Terlalu banyak nikmat yang Allah s.w.t pinjamkan sehinggakan ia tidak dapat dihuraikan satu per satu! Namun begitu ada segelintir antara kita yang menyalahgunakan nikmat tersebut bahkan ada yang mengambil kesempatan keatas orang lain yang mungkin nikmat kurniaan Allah s.w.t kepadanya tidak sesempurna dan selengkap nikmat yang kita perolehi.

Semalam ana berpeluang untuk makan tengah hari bersama sahabat-sahabat sefikrah di Medan Hang Tuah, pusat membeli belah The Mall di Kuala Lumpur. Apa yang hendak dikongsikan bukanlah tentang makanan, tetapi suasana dan bagaimana kelemahan dan kekurangan orang lain dimanfaatkan sebagai sumber kewangan dan sumber kekayaan. Inilah situasi yang mana, yang miskin bertambah miskin dan yang kaya bertambah kaya. Tidakkah itu zalim?

Dalam hal mencari harta, soal halal dan haram sudah tidak dipedulikan lagi. Ana pasti sahabat-sahabat, selalu bertembung atau didatangi oleh peminta sedekah ketika sedang makan atau sedang mengisi minyak. Selalunya kalau di gerai-gerai makan, adalah orang buta meminta sedekah dan akan ada seorang yang memimpin dia untuk bergerak dari satu meja ke satu meja. Sama juga dengan di stesen minyak, kebiasaanya akan ada kanak-kanak yang menjual minyak angin dan kalendar.

Persoalan sedekah, terpulang pada sahabat-sahabat ana tak mampu nak ulas. Cumanya kadang-kadang terfikir, jika betul mereka ini perlukan sumbangan, kenapa mereka bergerak secara berkelompok? Dari mana mereka dapat bekalan barang-barang tersebut? Betul ke sumbangan yang kita hulurkan itu sampai ke tangan mereka. Adakah mereka dapat rasa duit yang kita beri dengan niat sedekah kepada mereka? Kesemua persoalan ini tidak dapat dijawab dengan jawapan yang memuaskan hati.

Kita biasa dengar bahawa mereka ini didalangi sindiket-sindiket. Permulaannya ana sendiri merasakan bahawa perkara ini adalah mustahil. Tetapi persepsi itu berubah bilamana sewaktu kami menunggu makanan untuk tiba, kami didatangi oleh dua orang buta yang mana kedua-duanya ada pengiring. Cumanya masa ketibaan mereka agak berbeza. Ketika kami sudah selesai makan pun masih ada yang datang. Tidakkah itu menimbulkan syak wasangka.

Kejadian ambil kesempatan ini tidak mengira orang kurang upaya atau tidak. Bahkan keluarga yang sedang bersedih juga ada yang mengambil kesempatan. Ini berkaitan dengan ibu kepada adik sepupu ana yang meninggal baru-baru ini. Ibunya meninggal dua tahun lepas di Hospital Putrajaya. Ana dimaklumkan kos pengurusan jenazah almarhum ibunya, termasuklah pengangkutan dan kerja-kerja pengkembumian mencecah sehingga RM2500! Sedangkan pengurusan anaknya yang meninggal baru-baru ini hanyalah RM300. MasyaAllah.

Itulah hakikatnya, hinggakan ke pengurusan jenazah pun masih ada yang mengambil kesempatan! Itulah fenomena masyarakat sekarang, harta menjadi rebutan sehinggakan tidak mengira bahawa perbuatan itu menganiayai orang lain. Ingatlah bahawa setiap apa yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah s.w.t. Cuma masa sahaja yang akan menentukan. Jika tidak kena pada kita, akan kena pada anak-anak kita, atau saudara mara kita. Ingatlah Allah s.w.t akan balas kembali perbuatan kita itu. Tika itu bermuhasabahlah, siapakah yang pernah kita aniayai.

Ingatlah sahabat-sahabat doa orang yang dizalimi tidak ada hijab antara dia dengan Allah s.w.t. Maka berhati-hatilah, benar kita berniaga, tetapi jangan sehingga perniagaan kita itu menganiayai orang yang tidak berdosa. Setiap perbuatan akan dibalas oleh Allah s.w.t. sebab itulah pejuang-pejuang yakinlah jahiliyah pasti diruntuhkan. Di saat itu Islam kan kembali gemilang. Dan yakinlah bahawa Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

11 Jan 2010

Masa Seorang Muslim...




Maksudnya: "Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar” al-Asr: 1-3

Ungkapan yang biasa didengari, “kita tangguhkan majlis ini dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr”. Biasa dilakukan dan dilafazkan bilamana kita mulakan mesyuarat, majlis ilmu, pertemuan dan lain-lain. Namun begitu, sejauh manakah kita menghayati firman Allah s.w.t ini. Sekadar mendapat pahala membuka dan menutup majlis, atau kita menghayati wahyu yang Allah s.w.t turunkan khusus untuk memberi peringatan kepada umat manusia?

Didalam surah ini, Allah s.w.t mulakannya dengan “Demi Masa”. Sesungguhnya dan hakikatnya permulaan ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t bersumpah demi masa! MasyaAllah, disitu kita lihat betapa pentingnya masa dalam kehidupan seorang muslim. Sumpah Allah s.w.t ini bukanlah satu sumpah yang ringan atau boleh diperlekehkan tetapi ada peringatan dan amaran yang disertakan bersama-sa
manya.

Acapkali kita lafazkan, namun tahukah kita bahawa sumpah Allah s.w.t itu adalah suatu perkara yang cukup berat. Amalan dan tradisi kita mesti mulakan dengan “ummul kitab” dan akhirinya dengan “surah al-Asr”. Tetapi lihatlah dari sudut pengurusan masa kita. Bagaimanakah kita menguruskan masa kita untuk kerja-kerja dakwah dan ibadah pada Allah s.w.t.

Kita sering berkira dengan Allah s.w.t tentang perihal ibadah, bahkan ada dikalangan kita dengan sengaja melengah-lengahkan ibadah fardhu dengan pelbagai alasan. Dimanakah sifat sebagai seorang muslim mukmin yang sejati. Sehinggakan seruan Allah s.w.t diambil mudah dan diringan-ringankan. Ingatlah disebabkan kita tidak memperdulikan Allah di dunia ini maka Allah s.w.t membalasnya di akhirat dengan tidak memperdulikan kita selama 300 tahun akhirat sehinggalah semua ahli mahsyar mengeluh dan merintih kerana mahkamah mahsyar tidak dimulakan!

Satu lagi ungkapan yang biasa dilafazkan ialah “biasalah janji melayu”. Jika kita lihat, ungkapan ini seolah-olah menjadi ungkapan keramat bilamana orang-orang yang berjanji tidak dapat hadir tepat pada masa yang telah dijanjikan. Kebiasaannya mesyuarat, sekiranya berjanji pada jam 9:00 pagi, jam 10:00 pagi belum tentu mesyuarat tersebut akan bermula. Itu pun boleh dikira bernasib baik sekiranya lewat satu jam. Pernah terjadi lewat sehingga 3 jam bahkan lebih teruk dari itu! Allahuakbar!

Itulah realiti masyarakat muslim kita sekarang. Kita sibuk ingin melihat Islam menang, sibuk ingin melihat kalimah Lailahaillallah tertegak di muka bumi, tetapi setiap masa dan saat kita lalaikan, kita ambil mudah. Masa-masa yang sepatutnya dimanfaatkan untuk beribadah dan melakukan gerak kerja Islam kita sia-siakan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Bilamana dipersoalkan tentang gerak kerja Islam, kita mendakwa masa tak mencukupi, sedangkan Allah s.w.t berikan setiap individu 24 jam satu hari untuk dimanfaatkan. Tapi begitulah fitrah manusia, sentiasa penuh dengan alasan!

Maka muhasabahlah kembali. Allah s.w.t akan mempersoalkan setiap saat yang diberikan, adakah ianya dimanfaatkan sebaiknya atau tidak. Perancangan adalah kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini. Padamkan ungkapan “janji melayu” di dalam diari hidup kita. Mulakan perubahan dengan diri kita dan insyaAllah orang lain akan turut berubah. Bai’ah yang sentiasa dilafazkan didalam solat perlu dipraktikkan dan dilaksanakan. Bai’ah yang dilafazkan bukanlah sekadar kata-kata tapi perjanjian dan ikatan antara kita dengan Allah s.w.t. Ingatlah wahai sahabat, Hari Ini Kita Berjuang dan Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

7 Jan 2010

Anai-anai oh Anai-anai!

Setiap makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t di muka bumi ini ada hikmahnya. Setiap dari mereka pastinya ada sebab kenapa dan mengapa Allah ciptakan mereka. Dan dalam setiap perkara yang Allah jadikan pasti tidak lari dari diselitkan hikmah kejadian itu. Hatta, khinzir yang diharamkan itu jua ada hikmahnya kenapa Allah s.w.t jadikannya. Allah s.w.t tidak menciptakan sesuatu itu untuk tujuan sia-sia. Hanya manusia yang selalu membuat kerja yang sia-sia.
Petang semalam, Alhamdulillah tiba awal sedikit berbanding hari-hari biasa. Setibanya di rumah tiba-tiba terdengar satu bunyi yang agak biasa di dengari. Bila diamati, tahulah bahawa bunyi tersebut adalah bunyi anai-anai yang sedang berkerja di atas siling rumah, almaklumlah rumah dah berusia 31 tahun pastinya banyak khazanah dan haiwan-haiwan bersejarah.

Namun, bila di amati apa yang terjadi di siling rumah seakan-akan sama dengan keadaan sekarang. Permukaan luar kayu tersebut masih elok dan cantik, tapi bila di buka bahagian dalamnya, MasyaAllah kosong akhirnya kayu tersebut. Rupa-rupanya permukaan yang elok diluar sekadar untuk melindungi perbuatan ana-anai tersebut di dalam kayu tersebut.

Itulah hakikatnya, memang sifat anai-anai begitu. Namun, apa yang menyedihkan ialah bilamana terdapat individu-individu yang mengaku dirinya muslim, mengaku dirinya pejuang Islam mempunyai sifat yang sama seperti anai-anai ini. Istilah anai-anai ini bukannya baru, tetapi telah wujud di zaman Rasulullah s.a.w. Mereka banyak membuat perancangan-perancangan yang sulit dengan niat sengaja hendak menjatuhkan maruah Islam.

Sebab itulah timbulnya kaum munafiq pada zaman Rasulullah s.a.w. Mereka ini cukup pandai berpura-pura bahkan pernah solat dibelakang Rasulullah s.a.w yang menjadi imam ketika itu. Namun di saat-saat kewafatan Rasulullah s.a.w. baginda pernah memanggil Saidina Huzaifah r.a. dan baginda sebut satu persatu nama golongan munafiq ini. Dikalangan sahabat-sahabat hanyalah Saidina Huzaifah ini yang menjadi pedoman.

Ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab yang pernah menyediakan satu senarai nama untuk kabinet kerajaan pentadbirannya. Beliau memanggil Saidina Huzaifah dan meminta beliau untuk menyemak senarai nama tersebut sekiranya terdapat orang munafiq didalamnya. Maka Saidina Huzaifah meneliti senarai tersebut dan menyerahkannya kembali dengan mengatakan terdapat dua nama orang munafiq di dalam senarai itu tanpa dinyatakan siapakah orang tersebut.

Maka Saidina Umar, dengan segera menukar nama-nama yang terdapat di dalam senarai itu dan diserahkan semula esoknya untuk diteliti oleh Saidina Huzaifah. Maka selepas diteliti, Saidina Huzaifah memaklumkan tiada orang munafiq didalamnya dan beliau bertanya kepada Saidina Umar, siapakah yang dikeluarkan dari senarai ini. Maka Saidina Umar menjawab, aku tidak tahu. Aku terlalu takut kepada orang munafiq ini. Kerana mereka akan menyebabkan umat Islam berpecah belah!

Begitulah bahayanya golongan munafiq ini. Jika dilihat kepada sirah para sahabat, bagaimana Saidina Uthman ibn Affan dibunuh juga melibatkan perancangan golonga munafiq ini yang mana rentetan dari pembunuhan itu, membawa kepada perpecahan umat Islam kepada 4 golongan. Begitulah bahayanya golongan munafiq ini. Maka satu persoalan ditimbulkan, tidakkah sama golongan-golongan pengkhianat kini dengan golongan pengkhianat pada zaman Rasulullah dan para sahabat dahulu?

Mereka berpura-pura berjuang, tetapi hakikatnya didalam mereka berjuang itu, telah diadakan perancangan untuk menjatuhkan orang lain. Kononnya matlamat mereka adalah untuk memajukan dan memodenkan Islam tetapi mereka lakukan secara sulit dan tersembunyi. Kononnya untuk kebaikan Islam tetapi hakikatnya merekalah menjadi asbab lemahnya Islam dan berpecahnya Islam. Ingatlah, firman Allah di dalam surah al-An’am ayat 159:

bahawasanya orang-orang Yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan Yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah Engkau terkait sedikitpun Dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. kemudian ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa Yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).


Lihatlah kembali kepada setiap perbuatan kita, kita masih baru dalam medan ini. Masih muda dan masih kurang pengalaman. Hormatilah orang-orang yang lebih berilmu dan berpengalaman kerana mereka ini telah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam mempertahankan Islam ini. Ilmu kita baru sedikit tetapi telah berani dan dengan lantangnya mengatakan orang terdahulu cetek ilmu.

Sekiranya beginilah sikap orang yang mengakui mereka memperjuangkan Islam, dengan sikap yang angkuh. Gilakan pengaruh, kuasa dan pangkat. Rasakan diri terlalu hebat dan berilmu dari Ulama’-ulama’, masih adakah Hari Esok Untuk Islam? Tepuk dada tanya iman.

Syah ad-Dharawi

5 Jan 2010

Yakinkah Kita Dengan Janji Allah?





Alhamdulillah, mungkin sedikit terlewat tetapi masih sempat untuk ana mengucapkan tahniah dan syabas kepada urusetia dan fasilitator yang telah membantu dalam menjayakan Kem Bina Iman. Sedar tak sedar sudah hampir 3 tahun ana melibatkan diri dengan Pondok Bustanul A’rifin. Bermula sebagai fasilitator, namun akhirnya hati bertaut di sana kerana melihat kepada suasana dan persekitaran yang cukup sesuai bagi jiwa-jiwa yang ingin mendalami agama.

Disanalah bermulanya segala-galanya, tempat dimana ana mendapat pendidikan secara tidak langsung dan kemahiran untuk berkomunikasi dan menarik perhatian remaja. Disana juga tercetus minat untuk terus mendidik adik-adik seakidah yang kebanyakkannya buta agama dan pernah terjebak di lembah durjana. Syukran jazilan kepada mudir Pondok Bustanul A’rifin al-Fadhil Tuan Guru Hj. Ahmad Ansory Murshid yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar.

Disinilah tempat untuk kita mengenal erti kepayahan, erti kesabaran dan yang paling penting erti bertawakkal pada Allah s.w.t. Dalam kesusahan untuk meneruskan perjuangan di pondok ini, semua itu dapat diharungi dengan pergantungan pada Allah s.w.t. Permulaannya ana sendiri takut dan bimbang untuk membantu, tetapi dengan keyakinan 50/50 ana teruskan juga. Benar janji Allah dalam surah Muhammad ayat 7:





Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Dalam kesulitan sentiasa ada kesenangan. Satu perkara yang ana belajar dari Tuan Guru ini ialah dalam kesulitan sentiasa ada kemanisan. Kemanisan itulah yang menjadi kekuatan untuk Tuan Guru ini mengharungi dan meneruskan cita-citanya untuk mentarbiyah anak-anak remaja yang dahagakan bimbingan dan petunjuk agama. Dalam kesempitan untuk mempertahankan institusi pondok itu, Allah sentiasa tunjukkan jalan keluar dan membantu. Subhanallah, Allah tidak pernah lalai dan leka dalam menunaikan janji-janjinya. Tetapi kita yang sering lupa dan sengaja mengingkari janji kita dengan Allah.

Alhamdulillah berkat kesabaran dan ketabahan, walaupun pernah dituduh pengamal ajaran sesat, walau pernah berhadapan dengan masalah kewangan yang kritikal, Pondok Bustanul A’riffin mampu untuk berdiri teguh. Dalam keadaan masyarakat buta dan hilang petunjuk, pondok inilah yang menjadi penyuluh dan pembimbing bagi memastikan Aqidah Islamiyyah dapat dipelihara.

Matlamatnya adalah untuk memastikan masyarakat kembali kepada sunnatulllah dan sunnah Rasulullah. Sebab itulah walaupun susah kami tetap teruskan perjuangan. Hari ini Kem Bina Iman bagi lelaki telah menjejak ke siri ke 4 dan bagi perempuan telah masuk siri ke 2. Alhamdulillah walaupun dengan kekuatan seorang fasilitator Kem Bina Iman 4 untuk lelaki, tetap diteruskan. Pelbagai masalah datang melanda, namun diharungi dengan tabah dan sabar. Maka benarlah janji Allah s.w.t.

Tips yang diajar oleh Tuan Guru dan memberi pengertian yang mendalam: “Anggaplah masalah itu sebagai istimewa, maka akan selesailah masalah itu”. Ingatlah hari esok untuk Islam, hari ini kita berjuang, menegakkan kebenaran, walau manusia membenci, walau manusia mencaci HARI ESOK UNTUK ISLAM!

Kepada sahabat/sahabiah yang berminat untuk menyumbang ke pondok ini, boleh salurkan ke Pondok Bustanul A’riffin AM Bank Berhad No Akaun: 0410020052560 atau hubungi Tuan Guru Hj. Ahmad Ansori (Mudir) di talian 019-3388239.

Syah ad-Dharawi

4 Jan 2010

Masih Wujudkah Jahiliyah?


Alhamdulillah, harus dipanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana memberi kesempatan pada kita untuk bernafas dan menjejakkan kaki ke tahun baru 2010. Seperti biasa, kehadiran tahun baru masihi ini diraikan dengan meriah, semeria-meriahnya seolah-olah sedang berlangsung pesta maksiat berbanding dengan meraikan kehadiran tahun baru hijriah sekadar dengan perarakan maal hijrah dan perhimpunan maal hijrah.

Itulah hakikatnya, walaupun Malaysia ini dikatakan sebuah negara Islam, tetapi ruhnya tidak wujud sama sekali. Hiburan yang disediakan seolah-olah menyatakan bahawa negara ini adalah negara maksiat! MasyaAllah.

“Kamu (umat Nabi Muhammad saw) merupakan sebaik-baik umat yang Kami (Allah) keluarkan di kalangan manusia (agar) kamu menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran (kejahatan), serta kamu beriman kepada Allah....”

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Imran ayat 110 diatas memberi pengertian yang cukup besar. Ia membawa makna bahawa jahiliyah dan Islam tidak boleh duduk bersama. Jahiliyah tidak boleh bergerak seiring dengan Islam. Sebab itulah dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan contoh yang terbaik berkenaan dengan jahiliyah dan Islam.

Dalam sirah, pernah satu ketika Nabi Muhammad s.a.w ditawarkan jawatan sebagai Raja kepada Makkah oleh pimpinan musyrikin Makkah. Bersama-sama tawaran itu juga dijanjikan wanita-wanita sebagai hamba dan harta yang lumayan namun ditolak oleh Baginda. Jika difikirkan mengikut akal, sudah tentu tawaran yang lumayan itu diterima. Tetapi apakah pengajaran yang ingin disampaikan oleh Baginda s.a.w?

Pengajaran dari peristiwa ini mengajar kita bahawa, Islam tidak boleh membangun bersama-sama dengan jahiliyah. Sebabnya, Islam adalah agama fitrah yang diturunkan oleh Allah atau erti kata mudah agama samawi (agama dari langit). Yang mana perintah dan suruhan oleh Allah s.w.t WAJIB dilaksanakan dan ditaati. Manakala jahiliyah pula ialah peraturan-peraturan yang dibuat oleh manusia mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan halal dan haram asalkan nafsu berjaya dipuaskan. Maka untuk menegakkan Islam, jahiliyah MESTI diruntuhkan dan dihapuskan terlebih dahulu!

Berbalik semula kepada sambutan tahun baru masihi. Apakah perbezaan antara kini dan zaman jahiliyah? Di zaman jahiliyah berlaku pergaulan bebas antara lelaki perempuan, zina secara terang-terangan, meminum arak di khalayak ramai, berhibur sehinggakan terlupa batas-batas syariat, wanita-wanita yang mendedahkan tubuh dan banyak lagi. Semuanya berlaku di zaman jahiliyah.
Apakah perbezaan antara kini dan zaman jahiliyah? Sedangkan perkara-perkara yang berlaku kini, sama dan serupa dengan apa yang berlaku di zaman jahiliyah?

Pada malam kita meraikan tahun baru masihi adalah malam berlakunya gerhana bulan, malam jumaat. Tiba-tiba terbayang dan terfikir, seandainya pada malam ini Allah s.w.t takdirkan berlakunya Qiamat? bagaimanakah nasib orang-orang yang sedang leka berhibur ini. Seharusnya malam seperti ini, kita beribadah dan mengingati Allah s.w.t, tetapi kita sibuk melakukan dosa dan maksiat pada Allah. Allah telah beri pilihan namun kita yang memilih jalan yang sesat itu. Pada siapakah perlu dipersalahkan? Tepuk dada, tanya iman!

Yakinlah wahai pejuang, jahiliyah pasti diruntuhkan, Islam kan kembali gemilang. Hari esok untuk ISLAM!

Syah ad-Dharawi
 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.