2 Feb 2010

Cabaran Berjuang...

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).

Ibnu Sirin r.a. menerangkan bahawa ayat dari surah at-Taubah ayat 24, ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang Makkah yang tak ingin berhijrah ke Madinah. Suatu hari, mereka ditanya Ali bin Abi Talib r.a. yang datang ke Makkah, “Mengapa kalian tidak berhijrah dan bergabung dengan Rasulullah s.a.w?” Mereka menjawab, “Kami tetap di sini bersama saudara-saudara, keluarga dan tempat tinggal kami.” (H.R Faryabi) Dipetik dari Tafsir al-Quran Per Kata terbitan Pustaka Maghfirah.

Ayat ini sentiasa meniti di bibir-bibir para dai’e bahkan menjadi satu kewajiban buat mereka untuk mempelajari dan memahami maksud dan isi tersurat dan tersirat yang diselitkan oleh Allah s.w.t di dalam ayat ini. Namun begitu, kita mungkin memahami, mudah untuk menerangkannya tetapi kita belum diuji dengan ayat ini. Sesungguhnya al-Quran itu adalah pembawa berita gembira dan berita buruk. Bahkan apa yang diceritakan di dalam al-Quran adalah kebenaran belaka. Cuma mungkin situasi yang berlaku di zaman para sahabat berbeza dengan situasi pada zaman kita. Tetapi masih tidak lari dari penerangan sebenar yang dinyatakan.

Teringat semasa berusrah dahulu, naqib ana ada memberikan peringatan yang berupa nasihat pada ana. Kata-kata akhi Nazaruddin memberikan pengertian yang cukup besar. Beliau berkata: “Sheikh, ana tak yakin anta akan kekal dalam perjuangan bila tamat pengajian... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta dah bekerja... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta dah berkahwin... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila sudah ber-anak satu... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta sudah ber-anak dua... ana hanya akan yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta sudah ber-anak tiga..”

Enam level atau tapisan yang diberikan kepada diri ini untuk istiqamah dalam perjuangan. Allahu Akbar, peringkat pertama telah selesai dan alhamdulillah masih lagi istiqamah. peringkat kedua sedang dilalui kini. Agak berat dan mencabar, sukar untuk dibahagikan masa antara bekerja dan berjuang. Walaupun kini bekerja dan berjuang, namun kadang-kadang tertewas akibat bisikan hati dan nafsu yang selalu menjadi musuh di dalam diri. Kadang-kadang sahabat seperjuangan yang sepatutnya menjadi penyuntik semangat tiba-tiba boleh menjadi asbab kepada lemahnya semangat untuk berjuang. Mungkin ini terjadi kerana ikatan ukhuwwah yang masih belum mantap dan belum mencapai tahap piawaian yang Nabi s.a.w. nyatakan iaitu:

Tidak beriman seseorang itu selagi mana dia tidak kasihkan sahabatnya seperti dia kasihkan dirinya sendiri

Allahu Akbar, jauh lagi rupanya perjuangan ini. Masih banyak yang ketinggalan dan lompang di dalam perjuangan ini. Sukarnya hendak mencapai kemenangan tanpa ukhuwwah.

Walaupun kini berada di tahap ke dua, namun cabaran yang ketiga telah dirasai. Bertepatan dengan firman Allah s.w.t diatas, keluarga boleh menjadi asbab kepada terhalangnya gerak kerja Islam. Memang terdapat kebenaran disitu. Pernah gerak kerja dakwah ini tergendala kerana tewas dengan leteran dan pujukan dari seorang insan bernama ibu dan bapa. Ada diantara ikhwah dan akhawat yang pernah disekat dan dihalang untuk ke program dan macam-macam lagi. Benarlah firman Allah s.w.t itu, bilamana kita hendak memperjuangkan agama, ahli keluarga boleh menjadi penghalang.

Berlainan dengan yang berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Faruq, seorang wanita bernama al-Khansa menangis kerana keempat-empat puteranya yang dihantar berjihad, syahid dalam pertempuran itu. Bilamana ditanya mengapakah beliau menangis, maka dia menjawab dia menangis kerana dia tidak lagi mempunyai putera untuk dihantar ke medan jihad dan tidak ada lagi putera untuk dia syahidkan demi agama. Rupanya air mata yang dialirkan bukan kerana meratap pemergian anaknya, tetapi sedih kerana tidak ada lagi anak yang boleh dihantar untuk berjihad di jalan Allah s.w.t. Allahu Akbar, mampukah kita berbuat demikian demi agama? Sedangkan hendak keluar berusrah pun disekat, inikan pula untuk ke medan jihad, menempah tiket syahid untuk ke syurga? Berat untuk dilakukan tanpa kefahaman dan pengorbanan.

Sebab itulah pembinaan sesebuah daulah itu bermula dari pembentukan individu muslim yang mengamalkan al-Quran dan sunnah. Kemudian berkahwin dan membentuk keluarga muslim yang mempraktikkan al-Quran dan sunnah. Bilamana wujudnya keluarga-keluarga muslim, maka terbentuklah masyarakat muslim yang mengaplikasikan konsep amal islami dan seterusnya akan terbentuk negara Islam yang menjalankan undang-undang Islam maka akan terdirilah Daulah Islamiyyah yang menegakkan kalimah Lailahaillah di muka bumi ini.

Jika ini dapat dilaksanakan maka, kegemilangan Islam dapat dikembalikan semula. Tuntutan untuk menegakkan semula Daulah Islamiyyah selepas keruntuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada 1924, telah menjadi fardhu ain. Selagi daulah tidak ditegakkan setiap insan bernama muslim adalah berdosa kerana tidak berusaha untuk mendirikannya semula. Maka teruskanlah berkerja wahai para dai’e, teruskanlah berjihad, perkemaskan tarbiyah, walau manusia mencaci, walau manusia membenci, yakinlah wahai pejuang Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.