11 Jan 2010

Masa Seorang Muslim...




Maksudnya: "Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar” al-Asr: 1-3

Ungkapan yang biasa didengari, “kita tangguhkan majlis ini dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr”. Biasa dilakukan dan dilafazkan bilamana kita mulakan mesyuarat, majlis ilmu, pertemuan dan lain-lain. Namun begitu, sejauh manakah kita menghayati firman Allah s.w.t ini. Sekadar mendapat pahala membuka dan menutup majlis, atau kita menghayati wahyu yang Allah s.w.t turunkan khusus untuk memberi peringatan kepada umat manusia?

Didalam surah ini, Allah s.w.t mulakannya dengan “Demi Masa”. Sesungguhnya dan hakikatnya permulaan ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t bersumpah demi masa! MasyaAllah, disitu kita lihat betapa pentingnya masa dalam kehidupan seorang muslim. Sumpah Allah s.w.t ini bukanlah satu sumpah yang ringan atau boleh diperlekehkan tetapi ada peringatan dan amaran yang disertakan bersama-sa
manya.

Acapkali kita lafazkan, namun tahukah kita bahawa sumpah Allah s.w.t itu adalah suatu perkara yang cukup berat. Amalan dan tradisi kita mesti mulakan dengan “ummul kitab” dan akhirinya dengan “surah al-Asr”. Tetapi lihatlah dari sudut pengurusan masa kita. Bagaimanakah kita menguruskan masa kita untuk kerja-kerja dakwah dan ibadah pada Allah s.w.t.

Kita sering berkira dengan Allah s.w.t tentang perihal ibadah, bahkan ada dikalangan kita dengan sengaja melengah-lengahkan ibadah fardhu dengan pelbagai alasan. Dimanakah sifat sebagai seorang muslim mukmin yang sejati. Sehinggakan seruan Allah s.w.t diambil mudah dan diringan-ringankan. Ingatlah disebabkan kita tidak memperdulikan Allah di dunia ini maka Allah s.w.t membalasnya di akhirat dengan tidak memperdulikan kita selama 300 tahun akhirat sehinggalah semua ahli mahsyar mengeluh dan merintih kerana mahkamah mahsyar tidak dimulakan!

Satu lagi ungkapan yang biasa dilafazkan ialah “biasalah janji melayu”. Jika kita lihat, ungkapan ini seolah-olah menjadi ungkapan keramat bilamana orang-orang yang berjanji tidak dapat hadir tepat pada masa yang telah dijanjikan. Kebiasaannya mesyuarat, sekiranya berjanji pada jam 9:00 pagi, jam 10:00 pagi belum tentu mesyuarat tersebut akan bermula. Itu pun boleh dikira bernasib baik sekiranya lewat satu jam. Pernah terjadi lewat sehingga 3 jam bahkan lebih teruk dari itu! Allahuakbar!

Itulah realiti masyarakat muslim kita sekarang. Kita sibuk ingin melihat Islam menang, sibuk ingin melihat kalimah Lailahaillallah tertegak di muka bumi, tetapi setiap masa dan saat kita lalaikan, kita ambil mudah. Masa-masa yang sepatutnya dimanfaatkan untuk beribadah dan melakukan gerak kerja Islam kita sia-siakan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Bilamana dipersoalkan tentang gerak kerja Islam, kita mendakwa masa tak mencukupi, sedangkan Allah s.w.t berikan setiap individu 24 jam satu hari untuk dimanfaatkan. Tapi begitulah fitrah manusia, sentiasa penuh dengan alasan!

Maka muhasabahlah kembali. Allah s.w.t akan mempersoalkan setiap saat yang diberikan, adakah ianya dimanfaatkan sebaiknya atau tidak. Perancangan adalah kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini. Padamkan ungkapan “janji melayu” di dalam diari hidup kita. Mulakan perubahan dengan diri kita dan insyaAllah orang lain akan turut berubah. Bai’ah yang sentiasa dilafazkan didalam solat perlu dipraktikkan dan dilaksanakan. Bai’ah yang dilafazkan bukanlah sekadar kata-kata tapi perjanjian dan ikatan antara kita dengan Allah s.w.t. Ingatlah wahai sahabat, Hari Ini Kita Berjuang dan Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.