20 Jan 2010

Ya Allah... Beratnya UjianMu Ini...


Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Begitulah fitrahnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lisan mudah untuk berkata-kata, jari mudah untuk menaip perkataan demi perkataan. Namun tak siapa yang tahu apakah yang tersirat disebalik ayat yang diturunkan oleh Allah ini. Syurga yang dijanjikan oleh Allah s.w.t itu tidaklah semudah yang disangka untuk kita kecapi kerana pelbagai rintangan dan dugaan telah disediakan untuk kita. Tujuannya bukan untuk menyusahkan kita tetapi untuk menguji sejauhmana keyakinan dan pergantungan kita pada Allah s.w.t.

Mehnah dan tribulasi sememangnya telah disediakan untuk orang-orang yang mengakui bahawa mereka ini berjuang atau beriman. Sunnatullah siapa yang berjuang, semestinya ada dugaan dan cabaran yang menanti. Agak pelik dan menghairankan bilamana terdapat orang yang mengakui mereka berjuang menegakkan kebenaran tetapi tidak ada sebarang cubaan dan dugaan di sepanjang perjalanannya. Bahkan, disepanjang perjuangannya itu dihamparkan dengan permaidani merah dan harta kekayaan. Pelik, kerana kebenaran itu sentiasa bercanggah dengan kebatilan.

Cumanya tahap-tahap dan bentuk dugaan yang diberikan adalah berbeza. Namun begitu, keadilan dan kebijaksanaan Allah s.w.t, ujian yang diberikan adalah sesuai dan mampu kita hadapi. Tidak pernah Allah s.w.t bersifat kejam dengan memberikan hambanya ujian yang tidak mampu diselesaikan. Itulah kebijaksanaan Allah. Bahkan syaitan yang mendampingi kita juga mengikut tangga iman masing-masing. Sekiranya iman itu kuat atau tinggi maka syaitan yang akan mendampingi adalah syaitan yang kuat, sekiranya iman itu lemah, maka syaitan yang mendampingi itu adalah syaitan yang “low class”.

Sebab itulah bagi orang-orang yang berjuang, bilamana ditimpa ujian atau dugaan mereka rasakan itu adalah satu kemanisan iman. Tidak ada kemanisan dalam berjuang sekiranya tidak diuji atau diberi dugaan. Bila kesabaran dan keimanan dijadikan pedoman untuk menghadapinya insyaAllah Taqwa menjadi balasan. Taqwa menjadi penentuukur, bila jiwa merasakan ujian itu satu kemanisan iman maka mereka akan hadapinya dengan tenang dan sabar. Bahkan dengan ujian tersebutlah yang menyebabkan mereka semakin hampir dan dekat pada Allah s.w.t. Dan bila tiba saat itu, setiap ujan yang mendatang akan dihadapi dengan tenang dan sabar. Kerana jiwanya, imannya telah betul-betul mantap untuk menghadapi sebarang bentuk cubaan yang mendatang.

Sebab mereka berjuang kerana Allah s.w.t dan mereka yakin walau manusia membenci, walau manusia mencaci, mereka yakin bahawa Hari Ini Kita Berjuang dan Hari Esok untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

2 comments:

siti said...

terima kasih sangat.. InsyaALLAH, saya akan sabar hadapi ujianNya ini...

matahari06_shams said...

tiada perjuangan tanpa pengorbanan..
andai tanpa ujian tiadalah makne sebuah kemanisan..stiap saat y diberikan kt diuji sbnrnye..samada kt sedar atau x..
mampu atau tidak bknlh satu alasan atau ukuran krn sglanya telah dijelaskn dlm al-baqarah ayat 286..
dan Allah telah mnyebut dalam surah al-Ankabut ayat 2-3..
camne kt nk hadapi ujian itu terpulang pd dr msg2..yakinlah Allah itu sentiasa di sisi..
la tahzan...
teruskn perjuangan..
Takbir!!!

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.