5 Jan 2010

Yakinkah Kita Dengan Janji Allah?





Alhamdulillah, mungkin sedikit terlewat tetapi masih sempat untuk ana mengucapkan tahniah dan syabas kepada urusetia dan fasilitator yang telah membantu dalam menjayakan Kem Bina Iman. Sedar tak sedar sudah hampir 3 tahun ana melibatkan diri dengan Pondok Bustanul A’rifin. Bermula sebagai fasilitator, namun akhirnya hati bertaut di sana kerana melihat kepada suasana dan persekitaran yang cukup sesuai bagi jiwa-jiwa yang ingin mendalami agama.

Disanalah bermulanya segala-galanya, tempat dimana ana mendapat pendidikan secara tidak langsung dan kemahiran untuk berkomunikasi dan menarik perhatian remaja. Disana juga tercetus minat untuk terus mendidik adik-adik seakidah yang kebanyakkannya buta agama dan pernah terjebak di lembah durjana. Syukran jazilan kepada mudir Pondok Bustanul A’rifin al-Fadhil Tuan Guru Hj. Ahmad Ansory Murshid yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar.

Disinilah tempat untuk kita mengenal erti kepayahan, erti kesabaran dan yang paling penting erti bertawakkal pada Allah s.w.t. Dalam kesusahan untuk meneruskan perjuangan di pondok ini, semua itu dapat diharungi dengan pergantungan pada Allah s.w.t. Permulaannya ana sendiri takut dan bimbang untuk membantu, tetapi dengan keyakinan 50/50 ana teruskan juga. Benar janji Allah dalam surah Muhammad ayat 7:





Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Dalam kesulitan sentiasa ada kesenangan. Satu perkara yang ana belajar dari Tuan Guru ini ialah dalam kesulitan sentiasa ada kemanisan. Kemanisan itulah yang menjadi kekuatan untuk Tuan Guru ini mengharungi dan meneruskan cita-citanya untuk mentarbiyah anak-anak remaja yang dahagakan bimbingan dan petunjuk agama. Dalam kesempitan untuk mempertahankan institusi pondok itu, Allah sentiasa tunjukkan jalan keluar dan membantu. Subhanallah, Allah tidak pernah lalai dan leka dalam menunaikan janji-janjinya. Tetapi kita yang sering lupa dan sengaja mengingkari janji kita dengan Allah.

Alhamdulillah berkat kesabaran dan ketabahan, walaupun pernah dituduh pengamal ajaran sesat, walau pernah berhadapan dengan masalah kewangan yang kritikal, Pondok Bustanul A’riffin mampu untuk berdiri teguh. Dalam keadaan masyarakat buta dan hilang petunjuk, pondok inilah yang menjadi penyuluh dan pembimbing bagi memastikan Aqidah Islamiyyah dapat dipelihara.

Matlamatnya adalah untuk memastikan masyarakat kembali kepada sunnatulllah dan sunnah Rasulullah. Sebab itulah walaupun susah kami tetap teruskan perjuangan. Hari ini Kem Bina Iman bagi lelaki telah menjejak ke siri ke 4 dan bagi perempuan telah masuk siri ke 2. Alhamdulillah walaupun dengan kekuatan seorang fasilitator Kem Bina Iman 4 untuk lelaki, tetap diteruskan. Pelbagai masalah datang melanda, namun diharungi dengan tabah dan sabar. Maka benarlah janji Allah s.w.t.

Tips yang diajar oleh Tuan Guru dan memberi pengertian yang mendalam: “Anggaplah masalah itu sebagai istimewa, maka akan selesailah masalah itu”. Ingatlah hari esok untuk Islam, hari ini kita berjuang, menegakkan kebenaran, walau manusia membenci, walau manusia mencaci HARI ESOK UNTUK ISLAM!

Kepada sahabat/sahabiah yang berminat untuk menyumbang ke pondok ini, boleh salurkan ke Pondok Bustanul A’riffin AM Bank Berhad No Akaun: 0410020052560 atau hubungi Tuan Guru Hj. Ahmad Ansori (Mudir) di talian 019-3388239.

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.