19 Feb 2010

Hari Keluarga...

Salam ‘alayk.

Alhamdulillah, baru-baru ini pada 13, 14 dan 15 Februari pada cuti Tahun Baru Cina kami sekeluarga berangkat ke Sungai Tekam Plantation Resort di Pahang dengan satu matlamat untuk mengeratkan lagi ukhuwwah antara ahli keluarga DaMai (Md. Daud dan Maimunah). Sungguhpun kedua-dua nenda sudah pergi menghadap ilahi namun dengan semangat kekeluargaan ahli keluarga DaMai dapat berkumpul walaupun di saat-saat akhir keluarga ada keluarga yang menarik diri atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kita merancang, tetapi perancangan Allah s.w.t lebih hebat dari perancangan kita!



Al-Fatihah buat adik kepada ayahanda Razali (Pak Teh) yang kembali menghadap ilahi pada pagi Sabtu yang lalu secara mengejut. Di maklumkan almarhum tidak menghidapi sebarang penyakit dan meninggal secara tiba-tiba. Namun satu hikmahnya ialah pemergiannya begitu mudah kerana, pergi menghadap ilahi setelah selesai berqiamulail dengan diri masih lagi dalam keadaan berwudhuk. SubhanAllah, beruntungnya dia.

Alhamdulillah sedar tak sedar keluarga kecil ini telah pun masuk generasi ke-4. Dan keahliannya telah mencecah sehingga ke 55 orang dan insyaAllah akan berkembang lagi di masa akan datang. Cabaran utama yang harus dihadapi adalah mengharungi kesesakan lalulintas yang bermula dari Batu Caves sehinggalah ke tol Bentong. MasyaAllah, perjalanan yang seharusnya mengambil masa 3 jam, terlajak sehingga ke 5 jam. Letihnya!

Namun begitu, bilamana bertemu dengan sanak saudara, segala keletihan itu hilang. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah solat berjamaah, bacaan yasin dan tahlil arwah untuk nenda dan sanak sudara yang telah meninggal dunia, sukaneka dan macam-macam lagi. Kesemua agenda ini telah dirancang seawal dari Hari Raya Aidilfitri yang lalu bagi memudahkan kami dan ahli keluarga yang lain merancang perjalanan.



Chalet yang kecil menyukarkan kami untuk solat berjamaah. Maka didirikan khemah menggunakan kanvas untuk memudahkan kami berhimpun. Disitulah mulanya, bilamana orang yang melalui kawasan itu memandang dengan pandangan pelik bercampur hairan bila melihat kami solat berjamaah disitu. Benarlah sabda Nabi s.a.w bahawa di akhir zaman agama itu menjadi satu perkara yang pelik di mata masyarakat. Itulah hakikat sebenarnya kini!

Alhamdulillah, program ini diakhiri dengan doa perpisahan dan doa musafir. Hasil perbincangan, perhimpunan silaturrahim yang seterusnya akan diadakan pada cuti Tahun Baru Cina dan pada kali ini keluarga ana yang akan menjadi tuan rumah. Dilampirkan bersama beberapa gambar keluarga yang diambil sebelum semuanya berpisah dan pulang ke destinasi masing-masing. Gambar-gambar lain masih dalam proses, maklumlah kamera pinjam.



InsyaAllah, jika diizinkan Allah s.w.t kita berjumpa tahun hadapan. Mudah-mudahan program yang dianjurkan ini mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

Hikmah Dari Bersabar...




(1) Demi Masa! (2) Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian (3) kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.


SubhanAllah, terlalu sibuk kebelakangan ini dengan urusan keduniaan sehingga lupa tanggungjawab sebagai dai’e untuk menyampaikan kebenaran Islam. Maafkan ana sahabat-sahabat, mungkin inilah antara cabaran dan dugaan untuk istiqamah di dalam perjuangan dakwah ini. Dahulu KPI nya sehari satu artikel namun tak dapat dicapai. Mudah untuk dilafazkan tetapi sukar untuk dilaksanakan. Terima kasih kepada sahabat-sahabat, ikhwah dan akhawat yang masih setia dan “sabar” dengan penulis blog ini.

“Sabar”. Sengaja ana taipkan begitu kerana ada makna tersirat yang cukup mendalam pada perkataan yang bersifat perbuatan itu. Ia seakan sama dengan istiqamah, mudah untuk dilafazkan tetapi sukar untuk dilaksanakan. Sabar itu menjadi tuntutan utama kepada kita sekiranya kita ingin meningkatkan tahap iman dan taqwa kita kepada Allah s.w.t. Namun begitu ia sukar nak dilaksanakan, bahkan kadang-kadang kita hilang sabar bilamana berhadapan dengan satu-satu situasi atau kejadian. Sedangkan kita tahu bahawa ujian dan dugaan adalah tarbiyah dari Allah s.w.t kepada hambanya.

“Sabar itu sebahagian daripada iman”, sering kita dengar di tazkirah-tazkirah dan kuliah-kuliah tetapi apakah makna yang tersirat disebalik perkataan sabar itu sendiri. Dengan sabarlah Islam dapat disebarkan dan diserapkan kedalam jiwa dan rohani manusia di zaman jahiliyyah. Dengan sabar jua Islam masih mampu berdiri di muka bumi Allah s.w.t ini. Harus difahami dengan jelas bahawa sabar hanya untuk perkara-perkara kebaikan dan bukan untuk perkara-perkara kemungkaran. Selalunya orang menyalah tafsir bahawa sabar adalah untuk semua perkara, tetapi sabar tidak boleh berkompromi dengan perkara maksiat dan dosa. Bilamana melibatkan perkara-perkara maksiat ia termasuk dalam tuntutan untuk mencegah kemungkaran.

Kenapa sabar menjadi ukuran di sini? Kita lihat pada sirah nabawiah berkenaan hijrah yang pertama ke bumi Taif yang menceritakan bahawa kehadiran Nabi s.a.w ke bumi Taif ini disambut oleh balingan dan lemparan batu. Sehinggakan sahabat-sahabat yang kasihkan kepada Rasulullah s.a.w sanggup menjadikan tubuh badan mereka dengan rela hati sebagai perisai untuk mengelakkan Nabi s.a.w dari dicederakan oleh penduduk Taif. Ada sesetengah riwayat yang menceritakan bahawa darah yang mengalir dari luka Nabi s.a.w itu bertakung di dalam sepatunya sehinggakan bilamana Baginda s.a.w berjalan, dikatakan ia mengeluarkan bunyi.

Ada riwayat lain pula mengatakan bahawa Baginda s.a.w menahan darahnya dari jatuh ke bumi Allah s.w.t kerana, sekiranya setitis darah Rasulullah s.a.w itu jatuh ke bumi, maka pastinya Allah s.w.t akan menurunkan bala dan memusnahkan penduduk Taif. Kasihnya Baginda s.a.w kepada mad’unya walaupun menerima layanan yang sedemikian! Setelah keluarnya baginda s.a.w dari Taif, maka turunlah malaikat Jibril a.s berjumpa dengan Baginda s.a.w dan memaklumkan bahawa Allah s.w.t telah mempersiapkan malaikat untuk menurunkan bala kepada penduduk Taif kerana mencederakan kekasih-Nya. Hanya menunggu kebenaran dari Rasulullah s.a.w untuk melaksanakannya. Namun permintaan Jibril a.s itu ditolak oleh Rasulullah s.a.w dengan alasan bahawa penduduk Taif masih belum memahami risalah yang dibawa baginda s.a.w.

Sekiranya kita berhadapan dengan situasi ini, bilamana ada pihak yang menawarkan diri untuk membalas perbuatan tersebut, kitalah menjadi orang yang paling gembira kerana dendam dan hasad di dalam hati. Tetapi lihatlah Rasulullah s.a.w yang menjadi Qudwah Hasanah, sabarnya bilamana berhadapan dengan mad’u-mad’u menjadikan ia personaliti yang menarik perhatian orang untuk lebih mendekati baginda dan mengenalinya dan akhirnya hati mereka akan tertambat dengan kesyumulan dan kehebatan Islam. Sekiranya Rasulullah s.a.w bersetuju dengan tawaran malaikat Jibril a.s agaknya bagaimanakah masa depan Islam.

Namun, natijah dari kesabaran Rasulullah s.a.w dalam berhadapan dengan mad’u-mad’unya menyebabkan Islam diterima. Mungkin dalam kita berdakwah, ada yang dicaci maki dan berbagai lagi perkara-perkara yang tidak di duga. Keberkesanan sabar ini, tidak dapat dilihat hasilnya dalam masa yang singkat. Allah s.w.t akan terus menguji tahap sabar hambanya sehinggalah Allah s.w.t benar-benar yakin dengan kesabaran itu, bila tiba saat itu maka kemenanganlah ganjarannya. Bersabarlah dalam setiap perkara, dan hiasilah sabar itu dengan tawakkal dan pergantungan kepada Allah s.w.t pastinya ia membuahkan hasil.

Sabar menjadi penanda aras untuk kita mencapai kemenangan, dengan sabar ia akan mematangkan kita supaya kita lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Sabarlah dalam berjuang insyaAllah dengan kesabaran itu, janji Allah s.w.t pasti tiba dan yakinlah wahai para pejuang Hari Esok Untuk Islam!


Syah ad-Dharawi

2 Feb 2010

Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran Sahabatku...


Selamat menyambut hari ulangtahun kelahiran yang ke 26 khas buat sahabat seperjuangan di alam kampus dahulu Akhi Tarmizi Ridzuan. Semoga dengan meningkatnya umur, semakin meningkat semangat untuk berjihad dan semakin bertambahnya umur, semakin bertambah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Setiap hari dan setiap detik yang berlalu semakin menghampirkan diri kita dengan kematian. Mudah-mudahan hidup ini mendapat keberkatan dari Allah s.w.t dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Teruskan berjuang sahabatku, yakinlah Hari Ini Kita Berjuang dan pasti Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

Cabaran Berjuang...

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).

Ibnu Sirin r.a. menerangkan bahawa ayat dari surah at-Taubah ayat 24, ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang Makkah yang tak ingin berhijrah ke Madinah. Suatu hari, mereka ditanya Ali bin Abi Talib r.a. yang datang ke Makkah, “Mengapa kalian tidak berhijrah dan bergabung dengan Rasulullah s.a.w?” Mereka menjawab, “Kami tetap di sini bersama saudara-saudara, keluarga dan tempat tinggal kami.” (H.R Faryabi) Dipetik dari Tafsir al-Quran Per Kata terbitan Pustaka Maghfirah.

Ayat ini sentiasa meniti di bibir-bibir para dai’e bahkan menjadi satu kewajiban buat mereka untuk mempelajari dan memahami maksud dan isi tersurat dan tersirat yang diselitkan oleh Allah s.w.t di dalam ayat ini. Namun begitu, kita mungkin memahami, mudah untuk menerangkannya tetapi kita belum diuji dengan ayat ini. Sesungguhnya al-Quran itu adalah pembawa berita gembira dan berita buruk. Bahkan apa yang diceritakan di dalam al-Quran adalah kebenaran belaka. Cuma mungkin situasi yang berlaku di zaman para sahabat berbeza dengan situasi pada zaman kita. Tetapi masih tidak lari dari penerangan sebenar yang dinyatakan.

Teringat semasa berusrah dahulu, naqib ana ada memberikan peringatan yang berupa nasihat pada ana. Kata-kata akhi Nazaruddin memberikan pengertian yang cukup besar. Beliau berkata: “Sheikh, ana tak yakin anta akan kekal dalam perjuangan bila tamat pengajian... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta dah bekerja... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta dah berkahwin... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila sudah ber-anak satu... ana tak yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta sudah ber-anak dua... ana hanya akan yakin anta kekal dalam perjuangan bila anta sudah ber-anak tiga..”

Enam level atau tapisan yang diberikan kepada diri ini untuk istiqamah dalam perjuangan. Allahu Akbar, peringkat pertama telah selesai dan alhamdulillah masih lagi istiqamah. peringkat kedua sedang dilalui kini. Agak berat dan mencabar, sukar untuk dibahagikan masa antara bekerja dan berjuang. Walaupun kini bekerja dan berjuang, namun kadang-kadang tertewas akibat bisikan hati dan nafsu yang selalu menjadi musuh di dalam diri. Kadang-kadang sahabat seperjuangan yang sepatutnya menjadi penyuntik semangat tiba-tiba boleh menjadi asbab kepada lemahnya semangat untuk berjuang. Mungkin ini terjadi kerana ikatan ukhuwwah yang masih belum mantap dan belum mencapai tahap piawaian yang Nabi s.a.w. nyatakan iaitu:

Tidak beriman seseorang itu selagi mana dia tidak kasihkan sahabatnya seperti dia kasihkan dirinya sendiri

Allahu Akbar, jauh lagi rupanya perjuangan ini. Masih banyak yang ketinggalan dan lompang di dalam perjuangan ini. Sukarnya hendak mencapai kemenangan tanpa ukhuwwah.

Walaupun kini berada di tahap ke dua, namun cabaran yang ketiga telah dirasai. Bertepatan dengan firman Allah s.w.t diatas, keluarga boleh menjadi asbab kepada terhalangnya gerak kerja Islam. Memang terdapat kebenaran disitu. Pernah gerak kerja dakwah ini tergendala kerana tewas dengan leteran dan pujukan dari seorang insan bernama ibu dan bapa. Ada diantara ikhwah dan akhawat yang pernah disekat dan dihalang untuk ke program dan macam-macam lagi. Benarlah firman Allah s.w.t itu, bilamana kita hendak memperjuangkan agama, ahli keluarga boleh menjadi penghalang.

Berlainan dengan yang berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Faruq, seorang wanita bernama al-Khansa menangis kerana keempat-empat puteranya yang dihantar berjihad, syahid dalam pertempuran itu. Bilamana ditanya mengapakah beliau menangis, maka dia menjawab dia menangis kerana dia tidak lagi mempunyai putera untuk dihantar ke medan jihad dan tidak ada lagi putera untuk dia syahidkan demi agama. Rupanya air mata yang dialirkan bukan kerana meratap pemergian anaknya, tetapi sedih kerana tidak ada lagi anak yang boleh dihantar untuk berjihad di jalan Allah s.w.t. Allahu Akbar, mampukah kita berbuat demikian demi agama? Sedangkan hendak keluar berusrah pun disekat, inikan pula untuk ke medan jihad, menempah tiket syahid untuk ke syurga? Berat untuk dilakukan tanpa kefahaman dan pengorbanan.

Sebab itulah pembinaan sesebuah daulah itu bermula dari pembentukan individu muslim yang mengamalkan al-Quran dan sunnah. Kemudian berkahwin dan membentuk keluarga muslim yang mempraktikkan al-Quran dan sunnah. Bilamana wujudnya keluarga-keluarga muslim, maka terbentuklah masyarakat muslim yang mengaplikasikan konsep amal islami dan seterusnya akan terbentuk negara Islam yang menjalankan undang-undang Islam maka akan terdirilah Daulah Islamiyyah yang menegakkan kalimah Lailahaillah di muka bumi ini.

Jika ini dapat dilaksanakan maka, kegemilangan Islam dapat dikembalikan semula. Tuntutan untuk menegakkan semula Daulah Islamiyyah selepas keruntuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada 1924, telah menjadi fardhu ain. Selagi daulah tidak ditegakkan setiap insan bernama muslim adalah berdosa kerana tidak berusaha untuk mendirikannya semula. Maka teruskanlah berkerja wahai para dai’e, teruskanlah berjihad, perkemaskan tarbiyah, walau manusia mencaci, walau manusia membenci, yakinlah wahai pejuang Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi
 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.