13 Jan 2010

Nikmat Yang Disalahguna...

Nikmat, satu perkataan yang tidak dapat diolah atau dihuraikan dengan kata-kata. Kadang-kadang ia hanya dapat digambarkan melalui ekspresi muka dan luahan perasaan. Namun begitu, sedarkan kita bahawa setiap saat setiap masa kita berada dalam nikmat Allah s.w.t. tiba-tiba terfikir dan terdetik di hati tentang banyaknya nikmat yang Allah s.w.t berikan pada setiap hambanya.

Terlalu banyak nikmat yang Allah s.w.t pinjamkan sehinggakan ia tidak dapat dihuraikan satu per satu! Namun begitu ada segelintir antara kita yang menyalahgunakan nikmat tersebut bahkan ada yang mengambil kesempatan keatas orang lain yang mungkin nikmat kurniaan Allah s.w.t kepadanya tidak sesempurna dan selengkap nikmat yang kita perolehi.

Semalam ana berpeluang untuk makan tengah hari bersama sahabat-sahabat sefikrah di Medan Hang Tuah, pusat membeli belah The Mall di Kuala Lumpur. Apa yang hendak dikongsikan bukanlah tentang makanan, tetapi suasana dan bagaimana kelemahan dan kekurangan orang lain dimanfaatkan sebagai sumber kewangan dan sumber kekayaan. Inilah situasi yang mana, yang miskin bertambah miskin dan yang kaya bertambah kaya. Tidakkah itu zalim?

Dalam hal mencari harta, soal halal dan haram sudah tidak dipedulikan lagi. Ana pasti sahabat-sahabat, selalu bertembung atau didatangi oleh peminta sedekah ketika sedang makan atau sedang mengisi minyak. Selalunya kalau di gerai-gerai makan, adalah orang buta meminta sedekah dan akan ada seorang yang memimpin dia untuk bergerak dari satu meja ke satu meja. Sama juga dengan di stesen minyak, kebiasaanya akan ada kanak-kanak yang menjual minyak angin dan kalendar.

Persoalan sedekah, terpulang pada sahabat-sahabat ana tak mampu nak ulas. Cumanya kadang-kadang terfikir, jika betul mereka ini perlukan sumbangan, kenapa mereka bergerak secara berkelompok? Dari mana mereka dapat bekalan barang-barang tersebut? Betul ke sumbangan yang kita hulurkan itu sampai ke tangan mereka. Adakah mereka dapat rasa duit yang kita beri dengan niat sedekah kepada mereka? Kesemua persoalan ini tidak dapat dijawab dengan jawapan yang memuaskan hati.

Kita biasa dengar bahawa mereka ini didalangi sindiket-sindiket. Permulaannya ana sendiri merasakan bahawa perkara ini adalah mustahil. Tetapi persepsi itu berubah bilamana sewaktu kami menunggu makanan untuk tiba, kami didatangi oleh dua orang buta yang mana kedua-duanya ada pengiring. Cumanya masa ketibaan mereka agak berbeza. Ketika kami sudah selesai makan pun masih ada yang datang. Tidakkah itu menimbulkan syak wasangka.

Kejadian ambil kesempatan ini tidak mengira orang kurang upaya atau tidak. Bahkan keluarga yang sedang bersedih juga ada yang mengambil kesempatan. Ini berkaitan dengan ibu kepada adik sepupu ana yang meninggal baru-baru ini. Ibunya meninggal dua tahun lepas di Hospital Putrajaya. Ana dimaklumkan kos pengurusan jenazah almarhum ibunya, termasuklah pengangkutan dan kerja-kerja pengkembumian mencecah sehingga RM2500! Sedangkan pengurusan anaknya yang meninggal baru-baru ini hanyalah RM300. MasyaAllah.

Itulah hakikatnya, hinggakan ke pengurusan jenazah pun masih ada yang mengambil kesempatan! Itulah fenomena masyarakat sekarang, harta menjadi rebutan sehinggakan tidak mengira bahawa perbuatan itu menganiayai orang lain. Ingatlah bahawa setiap apa yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah s.w.t. Cuma masa sahaja yang akan menentukan. Jika tidak kena pada kita, akan kena pada anak-anak kita, atau saudara mara kita. Ingatlah Allah s.w.t akan balas kembali perbuatan kita itu. Tika itu bermuhasabahlah, siapakah yang pernah kita aniayai.

Ingatlah sahabat-sahabat doa orang yang dizalimi tidak ada hijab antara dia dengan Allah s.w.t. Maka berhati-hatilah, benar kita berniaga, tetapi jangan sehingga perniagaan kita itu menganiayai orang yang tidak berdosa. Setiap perbuatan akan dibalas oleh Allah s.w.t. sebab itulah pejuang-pejuang yakinlah jahiliyah pasti diruntuhkan. Di saat itu Islam kan kembali gemilang. Dan yakinlah bahawa Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.