19 Feb 2010

Hikmah Dari Bersabar...




(1) Demi Masa! (2) Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian (3) kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.


SubhanAllah, terlalu sibuk kebelakangan ini dengan urusan keduniaan sehingga lupa tanggungjawab sebagai dai’e untuk menyampaikan kebenaran Islam. Maafkan ana sahabat-sahabat, mungkin inilah antara cabaran dan dugaan untuk istiqamah di dalam perjuangan dakwah ini. Dahulu KPI nya sehari satu artikel namun tak dapat dicapai. Mudah untuk dilafazkan tetapi sukar untuk dilaksanakan. Terima kasih kepada sahabat-sahabat, ikhwah dan akhawat yang masih setia dan “sabar” dengan penulis blog ini.

“Sabar”. Sengaja ana taipkan begitu kerana ada makna tersirat yang cukup mendalam pada perkataan yang bersifat perbuatan itu. Ia seakan sama dengan istiqamah, mudah untuk dilafazkan tetapi sukar untuk dilaksanakan. Sabar itu menjadi tuntutan utama kepada kita sekiranya kita ingin meningkatkan tahap iman dan taqwa kita kepada Allah s.w.t. Namun begitu ia sukar nak dilaksanakan, bahkan kadang-kadang kita hilang sabar bilamana berhadapan dengan satu-satu situasi atau kejadian. Sedangkan kita tahu bahawa ujian dan dugaan adalah tarbiyah dari Allah s.w.t kepada hambanya.

“Sabar itu sebahagian daripada iman”, sering kita dengar di tazkirah-tazkirah dan kuliah-kuliah tetapi apakah makna yang tersirat disebalik perkataan sabar itu sendiri. Dengan sabarlah Islam dapat disebarkan dan diserapkan kedalam jiwa dan rohani manusia di zaman jahiliyyah. Dengan sabar jua Islam masih mampu berdiri di muka bumi Allah s.w.t ini. Harus difahami dengan jelas bahawa sabar hanya untuk perkara-perkara kebaikan dan bukan untuk perkara-perkara kemungkaran. Selalunya orang menyalah tafsir bahawa sabar adalah untuk semua perkara, tetapi sabar tidak boleh berkompromi dengan perkara maksiat dan dosa. Bilamana melibatkan perkara-perkara maksiat ia termasuk dalam tuntutan untuk mencegah kemungkaran.

Kenapa sabar menjadi ukuran di sini? Kita lihat pada sirah nabawiah berkenaan hijrah yang pertama ke bumi Taif yang menceritakan bahawa kehadiran Nabi s.a.w ke bumi Taif ini disambut oleh balingan dan lemparan batu. Sehinggakan sahabat-sahabat yang kasihkan kepada Rasulullah s.a.w sanggup menjadikan tubuh badan mereka dengan rela hati sebagai perisai untuk mengelakkan Nabi s.a.w dari dicederakan oleh penduduk Taif. Ada sesetengah riwayat yang menceritakan bahawa darah yang mengalir dari luka Nabi s.a.w itu bertakung di dalam sepatunya sehinggakan bilamana Baginda s.a.w berjalan, dikatakan ia mengeluarkan bunyi.

Ada riwayat lain pula mengatakan bahawa Baginda s.a.w menahan darahnya dari jatuh ke bumi Allah s.w.t kerana, sekiranya setitis darah Rasulullah s.a.w itu jatuh ke bumi, maka pastinya Allah s.w.t akan menurunkan bala dan memusnahkan penduduk Taif. Kasihnya Baginda s.a.w kepada mad’unya walaupun menerima layanan yang sedemikian! Setelah keluarnya baginda s.a.w dari Taif, maka turunlah malaikat Jibril a.s berjumpa dengan Baginda s.a.w dan memaklumkan bahawa Allah s.w.t telah mempersiapkan malaikat untuk menurunkan bala kepada penduduk Taif kerana mencederakan kekasih-Nya. Hanya menunggu kebenaran dari Rasulullah s.a.w untuk melaksanakannya. Namun permintaan Jibril a.s itu ditolak oleh Rasulullah s.a.w dengan alasan bahawa penduduk Taif masih belum memahami risalah yang dibawa baginda s.a.w.

Sekiranya kita berhadapan dengan situasi ini, bilamana ada pihak yang menawarkan diri untuk membalas perbuatan tersebut, kitalah menjadi orang yang paling gembira kerana dendam dan hasad di dalam hati. Tetapi lihatlah Rasulullah s.a.w yang menjadi Qudwah Hasanah, sabarnya bilamana berhadapan dengan mad’u-mad’u menjadikan ia personaliti yang menarik perhatian orang untuk lebih mendekati baginda dan mengenalinya dan akhirnya hati mereka akan tertambat dengan kesyumulan dan kehebatan Islam. Sekiranya Rasulullah s.a.w bersetuju dengan tawaran malaikat Jibril a.s agaknya bagaimanakah masa depan Islam.

Namun, natijah dari kesabaran Rasulullah s.a.w dalam berhadapan dengan mad’u-mad’unya menyebabkan Islam diterima. Mungkin dalam kita berdakwah, ada yang dicaci maki dan berbagai lagi perkara-perkara yang tidak di duga. Keberkesanan sabar ini, tidak dapat dilihat hasilnya dalam masa yang singkat. Allah s.w.t akan terus menguji tahap sabar hambanya sehinggalah Allah s.w.t benar-benar yakin dengan kesabaran itu, bila tiba saat itu maka kemenanganlah ganjarannya. Bersabarlah dalam setiap perkara, dan hiasilah sabar itu dengan tawakkal dan pergantungan kepada Allah s.w.t pastinya ia membuahkan hasil.

Sabar menjadi penanda aras untuk kita mencapai kemenangan, dengan sabar ia akan mematangkan kita supaya kita lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Sabarlah dalam berjuang insyaAllah dengan kesabaran itu, janji Allah s.w.t pasti tiba dan yakinlah wahai para pejuang Hari Esok Untuk Islam!


Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.