26 Apr 2011

Tiada Jalan "Short Cut" Untuk Mengenal Allah...

Salam ‘alayk.


Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi Allah s.w.t. masih lagi mengurniakan nikmat nyawa kepada diri ini dan Allah s.w.t. jugalah yang telah menggerakkan jari jemari ni untuk kembali ke medan blog ini bagi menjalankan kewajipan sebagai seorang dai’e dan bagi memenuhi tuntutan dakwah. Beribu ampun dan kemaafan dipohon kepada sahabat-sahabat dan pembaca yang menanti pos-pos di blog ini. Benarlah penantian itu satu penyeksaan.


Namun begitu, sungguhpun saluran dakwah melalui media baru ini menyepi buat seketika, tetapi cabang-cabang dakwah lain tetap berjalan seperti biasa. Diri ini masih disibukkan dengan program-program dakwah yang mana kadang-kadang diri sendiri tidak mampu bernafas. Sungguhpun begitu, itulah tujuan penciptaan seorang manusia di muka bumi Allah s.w.t. ini. Bukanlah diciptakan manusia itu untuk bersuka ria atau melakukan maksiat tetapi adalah semata-mata memenuhi kehendak penciptanya dengan mengabdikan diri dari semua aspek dan bukan aspek ibadah semata-mata.


Sayangnya dalam kesibukan kita berlumba-lumba mengejar kekayaan akhirat, harus diingati bahawa setiap perkara yang dilakukan itu mestilah mengikut tuntutan syariat. Mestilah setiap perbuatan itu selaras dengan syariat agar kita tidak terpesong dari landasan yang sebenar. Harus difahami bahawa dalam proses mentarbiyah diri, dalam proses mempelajari agama bahkan dalam proses menuntut ilmu itu sendiri tiada istilah “short cut” ataupun jalan pintas. Kerana semuanya itu mesti melalui peringkat demi peringkat agar disiplin dan kemuliaan ilmu itu dapat dipelihara.


Saya kongsikan pengalaman dua atau tiga minggu yang lalu. Kebetulan mempunyai sedikit masa lapang yang mana membenarkan diri ini untuk solat Isyak berjamaah di masjid karyah sendiri. Jarang dapat meluangkan masa bersama dengan karyah masjid kerana jadual yang agak padat. Dalam perjalanan untuk naik ke dewan solat, saya berselisih dengan seorang AJK masjid yang sedang berbalah dengan seorang pemuda (anak jiran) yang tidak berpuas hati dan mempersoalkan tindakan beberapa AJK masjid yang membuat tuduhan-tuduhan palsu kepada ibunya. Perbalahan itu berakhir bilamana muazzin melaungkan iqamah untuk solat Isyak.


“Adik” ini dan sepupunya request, nak berjumpa dengan saya selepas solat Isyak. Beranggapan bahawa dia ingin mendapatkan nasihat, maka saya memberikan jawapan yang positif. Selepas Isyak, kami berbincang, dan sepanjang perbincangan itu, hati saya tidak putus-putus beristighfar. Memohon ampun dan perlindungan dari Allah s.w.t. Niat saya untuk meredakan kemarahan “adik” ini dan sepupunya rupanya meleset sama sekali. Apa yang diceritakan sepanjang perbincangan itu, benar-benar membuatkan saya terkejut dan takut. Takut dengan azab Allah s.w.t. bakal menanti. Rupanya Allah s.w.t masih sayangkan hambaNya dengan mendedahkan kebenaran.


Perbincangan itu bukannya bertujuan untuk mendapatkan nasihat atau pandangan tetapi perbincangan itu bertujuan untuk mempengaruhi supaya saya bersama-sama dengan mereka, supaya sehaluan dengan mereka iaitu orang yang berpegang dengan ilmu hakikat! Allahu Rabbi, terkejutnya hati dan takutnya bilamana mendengar apa yang diceritakan “adik” itu, dengan mengatakan bahawa saya adalah orang syariat, dan dia adalah orang hakikat dia menceritakan bahawa dirinya dianugerahkan ilmu “laduni”. Beberapa kali "adik" ini "scan" batin saya dan mengatakan bahawa saya berpontensi untuk bersama-sama dengan mereka.


Mujurlah diri ini mempunyai sedikit ilmu yang menjadi pendinding dan pedoman agar tidak tersasar dari syariat Allah s.w.t. Amalan-amalan dan praktis mereka yang diceritakan, dengan jelas bercanggah dengan syariat Allah s.w.t. Mereka ini dibimbing oleh seorang wanita yang mereka panggil “Ummi”. Antara amalan-amalan mereka yang menimbulkan kemusykilan dan curiga adalah, mereka dibenarkan tidur sebantal dengan guru mereka dengan masing-masing hanya berselimutkan kain putih sebagai hijab menjaga aurat antara lelaki perempuan. Tetapi tidur sebantal? Adakah syariat membenarkan? Musykil.


Selain itu, mereka ini dikatakan mempunyai kelebihan untuk menganalisa atau mudah dikatakan “scan” batin seseorang itu. Mereka dapat melihat orang yang sedang solat itu secara zahirnya sedang menghadap Allah s.w.t. tetapi secara batinnya dibelit ular dan sebagainya. Itu menjadi asbab kepada “adik” ini untuk tidak datang solat berjamaah di masjid. Ilmu itu dikatakan ilmu “laduni”. Peliknya setakat pengetahuan saya, orang yang mempunyai ilmu “laduni” ini akan merahsiakannya, tapi ini diceritakan secara selamba dan dengan penuh rasa bangga.


Antara lain juga, mereka dikehendaki membayar zakat seumur hidup kepada guru mereka. Wang yang ada di bank sebanyak RM19,000.00, RM10,000.00 wajib dibayar zakat kepada gurunya. Ayat Quran mana yang membenarkan zakat dibayar kepada individu seorang? Kemanakah duit itu dibelanjakan? Selain itu juga, setiap kali mereka berdoa memohon hajat kepada Allah s.w.t., mereka dikehendaki mendoakan kesejahteraan guru mereka, kemudian Nabi s.a.w. dan para sahabat. Martabat gurunya lebih tinggi dari Rasulullah s.a.w. Ajaran mana yang memartabatkan guru lebih mulia dari Rasulullah s.a.w.?


Allahu Rabbi, hati ini beristighfar sepanjang perbincangan itu. Saya mengambil pendekatan menyoal berbanding untuk berbahas. Kerana pastinya berbahas dengan orang-orang yang mempunyai fiqrah yang sebegini hanyalah membuang masa. Semua pertanyaan dan persoalan yang saya lontarkan dijawab oleh dua orang pemuda bersaudara ini dengan hujah yang pening dan diputarbelitkan. Hanya orang yang betul-betul kuat pegangan dan ‘alim ilmunya yang mampu memperbetulkan kembali aqidah orang-orang seperti ini. Saya tidak mempunyai kekuatan itu untuk berdebat dengan mereka.


Allah s.w.t. itu Maha Berkuasa, selang beberapa hari abang kepada kepada sepupu “adik” tersebut datang berjumpa saya memohon pertolongan. Meminta supaya saya dapat membimbing kembali adiknya yang telah jauh terpesong. Diceritakan sikap adiknya yang berubah bilamana mengikut ajaran sesat ini. Adiknya yang dahulunya baik, berubah dengan memaki hamun ibunya. Sanggup dan tergamak mengatakan ibunya telah syirik semata-mata kerana ibunya tidak mahu bersama-sama dengan ajarannya. Semua masakan ibunya haram dimakan kerana ibunya telah syirik, barang kemas neneknya dicuri dan digadaikan semata-mata untuk membayar zakat seumur hidup.


Allahu Rabbi, beginilah jadinya bilamana dalam proses menuntut ilmu itu tidak melalui saluran yang betul. Jalan pintas dipilih kerana tidak sabar untuk memahami agama. Sesungguhnya Islam itu amatlah indah serta mudah, dan harus difahami dalam kemudahan Islam itu konsep “matlamat tidak menghalalkan cara” ada bersamanya. Islam dengan jelas telah menggariskan batas-batas yang membezakan antara halal dan haram, dosa dan pahala. Maka patuhilah ia, dan janganlah semata-mata untuk memahami agama, batas-batas syariat itu dihalalkan.


Berdebat, bukanlah jalan terbaik untuk golongan ini. Namun begitu, pendedahan-pendedahan tentang kesesatan ajaran ini harus disampaikan kepada orang ramai supaya mereka berwaspada. Jagalah diri, dan berwaspadalah supaya kita tidak terjebak dengan ajaran yang menakutkan ini. Tugas kita hanyalah berusaha, selebihnya yang menentukan samaada ia berjaya atau gagal adalah tugas Allah s.w.t. Teruskanlah berjuang, memberikan kesedaran kepada mad’u kita. Pastinya satu hari nanti segalanya akan didedahkan dan yakinlah bahawa mereka ini akan kembali semula kepada Islam dan bilamana saat itu kembali pastinya Hari Esok Untuk Islam!


Syah Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.