27 Apr 2011

Muliakah Kita?

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”


Surah al-Hujuraat: 13


Salam ‘alayk.


Setelah sekian lama tidak menjengah ke blog sendiri, diri ini melihat kembali hasil-hasil penulisan yang telah dibuat. Bukan untuk melihat kehebatan dan kekuatan diri, tetapi untuk bermuhasabah. Sejauh manakah setiap perkara yang disebutkan itu dipraktikkan dan diamalkan. Bimbang kalau-kalau, ia hanya sekadar kata-kata kosong yang akan menjadi pukulan di akhirat nanti.


Bila mengimbau kembali, tujuan ditulis setiap artikel itu, diri ini terpanggil untuk memberikan sedikit perkongsian dengan berdasarkan kepada potongan ayat di atas supaya masing-masing bermuhasabah. Supaya masing-masing tidak merasakan diri hebat dan supaya masing-masing tahu kedudukan diri masing-masing dimana tahap imannya untuk menghina seseorang. Kerana tanpa kita sedari, boleh jadi kita melakukan sesuatu perbuatan yang menghina atau mencela orang lain sedangkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. lebih mulia dari diri kita.


Sebab itulah, intipati dari ayat ini telah menegaskan bahawa Allah s.w.t. tidak menilai seseorang itu berdasarkan rupa parasnya atau pun kemuliaan darjat dan pangkat yang dimilikinya tetapi taqwa itu menjadi penanda aras. Taqwa itulah yang menjadi penentu samaada kedudukan kita itu mulia atau hina di sisi Allah s.w.t. Boleh jadi, seorang hamba yang miskin tetapi tidak mengemis bahkan sentiasa tunduk dan sujud kepada Allah s.w.t. lebih tinggi nilai taqwanya berbanding orang kaya yang sombong dan tidak pernah sujud kepada Allah s.w.t.


Itulah yang membuatkan kadang-kadang, manusia itu merasakan dengan jawatan dan pangkat yang dimilikinya itu memberikan kemuliaan pada dirinya sehingga sanggup melayan orang yang lebih rendah kedudukannya seperti hamba atau golongan kuli. Satu situasi yang pernah terjadi. Seorang kerani yang pejabatnya lambat dibuka, kemudian pengawal yang bertugas membuka pejabat itu terlupa membuka suis lampu. Dengan rasa angkuh dan sombong, pengawal itu ditengking dan diherdik. SubhanaAllah, sombong dan angkuhnya manusia ini, apalah salahnya andai kita meminta pertolongan?


Apalah salahnya kalau kita bercakap dengan nada yang baik? Boleh jadi orang yang ditengking dan diherdik itu lebih mulia darjatnya di sisi Allah s.w.t. Niatnya untuk menunjukkan siapa berkuasa dan kebolehan memberi arahan itu secara tidak langsung, telah menjatuhkan maruah dirinya sendiri di hadapan rakan-rakannya yang lain. Rugikah kita kalau kita bersikap lemah lembut? Sedangkan dia lupa, bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda:


“Kamu masing-masing adalah pemimpin dan masing-masing kamu bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin, ia bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan ia bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumah suaminya dan ia bertanggungjawab atas kepimpinannya”


(Hadith Muttafaq ‘alaih)


Dengan pangkat dan darjat yang dipinjamkan Allah s.w.t. itu, dirinya merasa megah dan bangga sehinggakan berani menghina orang lain. Ya betul, dia mempunyai kuasa dari darjat yang dimilikinya tapi dirinya lupa bahawa pangkat dan darjat yang dipinjamkan Allah s.w.t. itu akan dipersoal satu persatu dengan sangat terperinci di akhirat nanti. Bahkan tidak ada satu perkara pun yang akan terlepas dari dipersoalakan oleh Allah s.w.t.


Ingatlah, darjat, pangkat, keturunan dan kemuliaan itu hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t. Ia bukanlah hak milik mutlak kita, maka gunakanlah pinjaman Allah s.w.t. itu dengan bijak dan berhikmah. Wahai para dai’e, dalamilah dan cubalah memiliki hati dan jiwa seorang dai’e. Layanlah mereka di sekeliling kita ini sebagai mad’u dengan rasa hormat dan dengan penuh kasih sayang. Berikanlah mereka hak mereka sewajarnya. Jadilah dai’e yang bilamana dilontarkan dirinya dengan batu, dirinya akan membalas dengan buah yang ranum. Kerana dai’e sentiasa percaya bahawa, walau manusia membenci, walau manusia mencaci, Hari Esok Untuk Islam!


Syah Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.