30 Nov 2010

Hebatnya Islam!

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (al-Hujuraat: 13)


Salam ‘alayk.

Islam Untuk Semua. Itulah hakikat yang perlu diterima oleh semua individu yang bergelar muslim. Lafaz tersebut bukannya melambangkan lafaz istimewa atau eksklusif yang mewujudkan jurang dan perbezaan antara golongan bangsawan dan hamba ataupun golongan arab dengan badwi tetapi lafaz tersebut meletakkan bahawa sesiapa sahaja yang telah melafazkan kalimah tauhid itu maka Islam meletakkan kedudukannya setaraf dengan orang-orang lain. Kerana yang bernilai hanyalah taqwa kepada Allah s.w.t.

Pengajaran dari ayat al-Quran yang Allah s.w.t turunkan ini terlalu besar dan luas. Tidak mampu untuk dihuraikan dari satu perspektif sahaja kerana terlalu banyak huraian dan penjelasan yang tersirat yang dapat dihuraikan walaupun sekadar menterjemah satu huruf. Itulah kehebatan Allah s.w.t dan kehebatan al-Quran sebagai mukjizat umat Islam. Yang mana ia seharusnya dijadikan panduan dan pegangan dalam kehidupan sehari-harian dari sekecil-kecil urusan seperti membuang najis hinggalah sebesar-besar urusan seperti mentadbir sebuah negara.

Selama ini kita hanya mampu melihat dan menilai Islam dari perspektif bangsa Melayu. Lebih spesifik lagi menilai Islam berdasarkan pengamalan dan prinsip bahawa Islam adalah agama kebangsaan yang mana ia membuatkan pemikiran Islam itu terbantut dan tidak bercambah. Limitasi itu membawa fahaman bahawa Islam itu mundur dan suka pada keganasan adalah berpunca dari kotak pemikiran yang sempit tanpa kita melihat bagaimanakah Islam membawa perubahan dan kemajuan kepada bangsa-bangsa lain di dunia ini. Kerana kita lebih bersifat mementingkan bangsa berbanding agama.

Itulah antara sebabnya Allah s.w.t memerintahkan kita untuk berta’aruf atau berkenal-kenal. Bukan sekadar matlamatnya untuk berkenal-kenalan tetapi untuk melihat bagaimana tamadun dan kebijaksanaan sesuatu bangsa itu hasil dari perlaksanaan Islam didalam kehidupannya. Sekiranya kita merasakan bahawa kita telah maju atau hebat, maka disana sebenarnya ada yang lebih hebat dan maju dari kita. Maka berkenal-kenalan mampu menjadikan kita lebih maju dan disamping mendekatkan diri kepada redha Allah s.w.t.

Kemajuan dan kehebatan sesuatu bangsa itu bukan kerana hasil usaha individu tetapi ia bergantung kepada pemerintahnya samaada mereka meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan untuk membangunkan negara mereka atau tidak. Negara tersebut akanmenjadi sebuah negara yang hebat sekiranya pemimpin dan rakyatnya mendaulatkan serta meletakkan al-Quran dan Sunnah di tempat yang tertinggi. Alhamdulillah, dengan berkat dan izin dari Allah s.w.t dapatlah diri ini melihat kehebatan dan kemajuan Islam dari bangsa yang lain. Terasa mundurnya bangsa ini bilamana melihat kehebatan tamadun yang lain. (Dikongsikan beberapa foto di Expo Cheng Ho yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini).

Tahniah dan syabas kepada kerajaan Islam Kelantan Darul Naim yang berjaya melebarkan jaringan dakwah dalam usaha untuk membentuk Daulah Islamiyyah. Sekiranya usaha seperti ini mampu diteruskan pada masa hadapan pastinya Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.