11 Mar 2010

Berkatkah Usahaku Ini?

Salam 'alayk.
Saat yang di nanti-nanti dan yang ditunggu-tunggu telah tiba. Setelah hampir lima tahun menuntut ilmu, hasilnya akan dapat dilihat pada hari ini. Hari inilah menjadi penentu samaada lima tahun yang dihabiskan itu bermanfaat atau tidak. Hari ini juga akan menjadi penentu ukur samaada kita mengembirakan ayah dan ibu atau mengecewakan mereka. Dan hari ini juga menjadi penanda aras samaada didikan dan usaha ayah dan ibu membesarkan kita itu berbaloi atau tidak. Itulah perkara yang dinanti-nantikan oleh adik-adik kita pada hari ini, hari keramat pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2009.

Pada hari ini, dapat kita lihat perasaan adik-adik yang bakal menerima keputusan SPM masing-masing. Ada yang sedih kerana gagal atau kurang cemerlang, manakala ada yang gembira dengan keputusan yang cemerlang dan baik. Pastinya berita pada hari ini akan menjadi satu topik yang hangat dan pastinya seperti pengumuman keputusan STPM yang lalu. Dan sudah semestinya media lebih memfokuskan kepada calon-calon cemerlang yang datang dari keluarga yang kurang bernasib baik.

Apakah motif media berbuat demikian? Masih menjadi tanda soal yang tidak dapat dijawab. Namun begitu satu persoalan yang ingin diutarakan adalah berkenaan dengan satu perkara yang sering kita lupakan. Dalam kesibukan mengejar cita-cita dan kejayaan, sering kita terlupa tentang satu perkara yang mana ia mungkin satu perkara yang remeh tetapi ia membawa kepada satu kesan yang cukup besar iaitu persoalan “berkat”.

Sesetengah orang mungkin memandang remeh kepada persoalan berkat ini, namun sebenarnya berkat inilah yang menentukan samaada seseorang individu itu berjaya atau gagal dalam hidupnya. Kerana dalam aspek menuntut ilmu disitu adanya adab diantara anak murid dengan gurunya. Guru perlunya menjaga adab sebagai pemberi ilmu dan murid perlu menjaga adab sebagai orang yang menerima ilmu.

Seseorang pelajar mungkin mampu mendapat keputusan yang cemerlang, tetapi di dalam kecemerlangannya itu dia pernah menguris hati pendidiknya. Mungkin juga dia pernah menipu atau meniru di dalam peperiksaan semata-mata hanya untuk mendapat keputusan cemerlang sedangkan dia lupa tentang persoalan berkat. Individu begini pernah saya temui dan berdasarkan pengalaman, mereka ini tidak akan selamat!

Sungguhpun mereka mendapat ijazah kelas pertama tetapi hakikatnya itu hanyalah satu fitnah yang Allah s.w.t berikan kepada mereka untuk menjahanamkan mereka. Sebab itulah tidak mustahil bilamana berlakunya penyelewengan dan rasuah dikalangan pegawai-pegawai penjawat awam dan swasta. Semuanya, adalah berpunca dari kerana ilmu yang diperolehinya itu tidak mendapat keberkatan dan kejayaan yang dikecapi bukan atas usaha sendiri tetapi kejayaan itu diperolehi dengan kaedah penipuan dan helah yang sama sekali tidak diredhai Allah s.w.t. Ingatlah sesungguhnya Allah melihat setiap perkara yang kita lakukan!

Berlainan pula situasi dengan seorang pelajar yang mungkin keputusannya tidak begitu cemerlang. Tetapi dirinya begitu menghormati guru dan menyayangi guru yang mendidiknya. Bahkan peperiksaan yang dihadapinya, dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan jujur. Mereka ini, yang pernah saya temui Alhamdulillah menjadi manusia yang berguna. Bahkan mereka ini lebih berjaya di dalam hidup berbanding dengan pelajar yang cemerlang tetapi menipu di dalam kecemerlangannya itu. Sungguhpun dia tidak cemerlang di dalam akademik, tetapi dengan berkat ilmu yang diperolehinya dia mampu menjadi insan berguna.

Disinilah persoalan berkat menjadi penentu ukur. Satu perkara asas yang mesti diambilkira bagaimana cara dan kaedah kita memperolehi ilmu tersebut. Sekiranya cara yang diperolehi itu adalah melalui saluran yang haram, pastinya Allah s.w.t akan memberikan kecemerlangan, tetapi Allah s.w.t cabut keberkatannya. Tetapi sekiranya ia diperolehi dengan cara yang betul, sungguhpun hasilnya tidak seberapa, yakinlah berkat dan redha Allah s.w.t ada bersama-samanya.

Ingatlah di akhirat nanti, Allah s.w.t tidak akan bertanya berkenaan dengan hasil, tetapi Allah s.w.t. akan bertanyakan tentang usaha. Allah s.w.t tidak memandang hasil, tetapi Allah s.w.t memandang kepada usaha yang diberikan. Sekiranya kita telah berusaha namun tidak berhasil, serahkanlah segala-galanya kepada Allah s.w.t. satu formula yang mudah untuk difahami. Usaha + Doa + Tawakkal = Hasil yang diredhai Allah s.w.t.

InsyaAllah jika diamalkan formula ini, pastinya Allah s.w.t memberkati setiap perkara yang kita lakukan. Sekiranya formula ini diamalkan dan perjuangan dilaksanakan dengan ikhlas pastinya janji Allah s.w.t. akan mejelang dan pastinya Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.