25 Mar 2010

Kitaran Hidup Manusia...

Salam alayk…

Fitrah kejadian manusia, satu kitaran yang cukup menarik dan seharusnya direnungi supaya kita dapat bermuhasabah agar setiap nikmat yang Allah s.w.t pinjamkan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Sesungguhnya setiap yang Allah s.w.t jadikan itu, tidak lari tidak ia adalah untuk dimanfaatkan dengan sebaik-sebaiknya oleh umat manusia di alam ini.

Satu kitaran atau pusingan hidup yang telah Allah s.w.t tentukan, bahkan setiap hambaNya akan lalui dan hadapi walaupun mereka tidak suka dan mereka tidak bersedia, namun ketentuan Allah s.w.t tiada siapa yang dapat menghalang. Itulah kitaran hidup yang mana bermulanya ia dari saat kita dilahirkan sebagai seorang bayi, membesar menjadi kanak-kanak, meningkat remaja, berubah menjadi dewasa dan akhirnya menjadi tua.

Dalam kitaran usia itu Allah s.w.t selitkan satu hikmah dan pengajaran supaya kita berfikir dan memanfaatkan sebaik-baiknya usia dan masa yang Allah s.w.t berikan kepada kita supaya kita tidak menyesal di hari mahsyar kelak. Sesungguhnya bersama-sama kitaran usia itu Allah s.w.t sertakan ia bersama-sama dengan satu lagi kitaran yang tidak kita sedari iaitu kekuatan diri atau tenaga.

Bermula dengan kekuatan diri yang lemah, kemudian Allah s.w.t berikan sepenuh kekuatan dan tenaga dan kemudiannya Allah s.w.t jadikan diri ini lemah kembali. Itulah kitaran kekuatan diri yang mana dari saat kita dilahirkan sebagai seorang bayi sehingga kita ke alam kanak-kanak, kita berada di dalam keadaan lemah. Bilamana kita meningkat ke alam remaja dan dewasa, disitulah Allah s.w.t berikan sepenuh tenaga dan kekuatan pada diri kita. Dan bilamana usia kita mula menjejak ke alam tua, Allah s.w.t jadikan diri ini lemah semula seperti di alam kanak-kanak.

Satu kitaran yang menarik yang telah diaturkan oleh Allah s.w.t supaya kita memanfaatkan sebaik-baiknya untuk kerja-kerja agama. Bermulanya kitaran tersebut, seorang bayi dan kanak-kanak tidak mempunyai kudrat dan kekuatan untuk melaksanakan sesuatu. Segala yang ingin dilakukan ketika berada di usia itu, akan dibantu dan dilaksanakan oleh orang lain.

Namun begitu, bilamana meningkatnya usia, bersama-sama itu Allah s.w.t tingkatkan lagi kekuatan dan keupayaan agar kita dapat melaksanakan sesuatu itu dengan keupayaan sendiri. Ketika inilah seharusnya setiap insan memanfaatkan ia dengan sebaik-baiknya dengan banyakkan beribadah kepada Allah s.w.t dan dengan melaksanakan kerja-kerja amar makruf wal nahyu anil mungkar.

Bilamana masa beredar maka usia makin meningkat. Bilamana usia sudah mula ke alam tua, maka disitu Allah s.w.t kurangkan kudrat dan kekuatan kita sedikit demi sedikit. Dan di situlah kita mula kembali lemah seperti dipermulaan kita dilahirkan. Di saat itulah kita menghitung detik dan masa untuk roh dipisahkan dari jasad oleh malaikat Izrail.

Satu persoalan yang perlu dijawab oleh ikhwah dan akhawat. Benarkah kata-kata orang-orang dahulu “muda-muda enjoy dulu, dah tua baru bertaubat”? Sedangkan kitaran yang Allah s.w.t ciptakan ini, kekuatan dan kudrat diri Allah s.w.t berikan ketika usia remaja dan dewasa. Bagaimanakah kita hendak laksanakan amar ma’ruf wal nahyu anil mungkar sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan dan kudrat?

Kepada yang mempunyai tanggapan sedemikian, harus diingat bahawa bilamana di mahsyar nanti, Allah s.w.t akan menyoal berkenaan dengan usia muda kita. Kemanakah usia tersebut dihabiskan. Adakah dihabiskan ke jalan maksiat atau dengan membantu agamaNya. Allah tidak mempersoalkan berkenaan usia tua kerana segala kekuatan dan kudrat untuk beribadah dan membuat kerja-kerja Islam telah Allah berikan ketika di usia muda.

Disini siapakah yang rugi? Orang muda yang memanfaatkan usianya dengan beribadah dan bergerak kerja untuk Islam atau orang yang usia mudanya “enjoy” dan di usia tua baru hendak insaf dan bertaubat. Maka manfaatkanlah usia muda yang kita ada ini sebaik-baiknya supaya kita tidak menyesal di hari Mahsyar kelak.

Di kesempatan ini sekalung tahniah ditujukan buat al-Fadhil Ustaz Suhaimi yang menerima puteri yang ke tiga, al-Fadhil Ustaz Redhauddin yang menerima putera yang kedua dan Saudara Fairus yang menerima putera sulung. Semoga, dengan kelahiran bakal-bakal mujahidin dan mujahidah ini, dapat meramaikan pejuang-pejuang yang akan berkerja untuk agama Allah s.w.t. InsyaAllah, mereka inilah harapan Agama. Yakinlah wahai pejuang Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.