23 Dec 2009

Nilai Cuti Seorang Da'ie...


Diari hidup seorang da’ie setiap masa dan setiap detik adalah cukup berharga. Pepatah melayu mengatakan masa itu emas, tapi ana rasakan ia tidak dengan sikap sambil lewa masyarakat muslim melayu yang selalu melengah-lengahkan masa. Ana suka mengambil pendekatan yang dibawa oleh para sahabat r.a. khususnya Saidina Umar al-Khattab r.a. yang pernah mengatakan bahawa masa itu ibarat pedang. Maka siapa yang terleka atau lalai akan dipotong oleh bilah pedang yang tajam itu.



Hari ini ana diberikan peluang untuk menikmati cuti sakit yang diberikan oleh doktor. Namun begitu apakah sebenarnya nilai M.C (medical certificate @ sijil cuti sakit) ini dalam diari hidup seorang yang mengakui bahawa dirinya adalah seorang pejuang Islam? Adakah cuti yang diberikan itu dimanfaatkan sebaiknya atau sekadar duduk di rumah dan berehat semata-mata? Ada orang yang memanfaatkan m.c itu untuk kerja-kerja dakwah dan ada pula orang yang mengambil kesempatan untuk berehat. Terpulang pada diri masing-masing.



Ana teringat beberapa pesanan dari naqib ana yang membuatkan ana terkesan hingga ke hari ini. Antara nasihatnya ”dalam diari seorang da’ie tidak ada istilah cuti rehat. Kalau nak cuti rehat dari berjuang, minta dengan Allah...” makna mudahnya untuk difahami, tidak ada istilah rehat bagi seorang yang mengakui dirinya da’ie kecuali dia ditakdirkan mati atau syahid. Itulah rehat bagi seorang da’ie.



Pernah seketika ana hilang arah tujuan atau erti kata mudahnya ”bengong” untuk dua minggu kerana sunyi dan tidak menghadiri sebarang program. Baru dua minggu cuti dari program, hati jadi berat untuk aktif semula berprogram. Tapi alhamdulillah, ukhuwwah yang dibina menjadi penyelamat dan penguat semangat untuk teruskan perjuangan. Ana cukup berterima kasih kepada seorang sahabat yang ana anggap seperti seorang abang pada ana yang cukup mengambil berat tentang kebajikan ana. Baru tiga hari ana senyap sunyi tanpa berita, dia terus hubungi dan bertanya khabar. Allahu Akbar! Itulah nikmat ukhuwwah di dalam perjuangan. Tanpa ukhuwwah dan sahabat-sahabat, mungkin ana telah hanyut dan jauh dari perjuangan. Nauzubillahiminzalik!



Satu pengalaman yang ingin dikongsi adalah pengalaman salah seorang pimpinan tertinggi, yang pernah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Sudah menjadi kelaziman, bilamana kita berkata tentang kebenaran, pastinya akan mendapat tentangan. Itu adalah sunnatullah, tanpa penentangan tidak ada kemanisan dalam berjuang. Pimpinan ini menyangka bahawa bila dimasukkan ke dalam penjara, itu adalah peluang untuk bercuti dari perjuangan, namun sangkaannya meleset. Di dalam penjara itulah menjadi medan untuknya berdakwah kepada banduan-banduan dengan menanamkan fikrah Islamiyyah ke dalam jiwa mereka. SubhanAllah! Dalam penjara boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan dakwah, sayangnya jika kita yang bebas dan tidak ada kekangan tidak dapat nak berdakwah. Cukup sayang!



Betulah kata orang, da’ie bila dicampak kemana-mana, tetap akan melaksanakan tugasnya sebagai seorang da’ie. Maka selagi hayat dikandung badan, selagi darah masih mengalir, selagi jantung masih berdenyut, hidup ini hanyalah untuk berjuang di jalan Allah. Al-Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa umur manusia dibahagi kepada 3 saat iaitu, 1 saat yang telah berlalu dan tidak dapat kembali, 1 saat kini yang sedang kita lalui dan 1 saat yang akan datang iaitu rahsia Allah s.w.t. Rahsia yang Allah sembunyikan tiada siapa pun yang tahu. Hanya Allah yang mengetahuinya, maka moleklah kiranya kita sentiasa bersiap sedia kerana ajal tidak mengenal umur, harta, pangkat dan darjat. Bila tiba saatnya Malaikat Maut tidak akan mempercepatkannya dan tidak melambatkannya walau sedetik! Maka sentiasalah berwaspada dan bersiap sedia menanti saat itu!



Sebab itulah tidak ada istilah rehat atau cuti dalam diari hidup seorang da’ie kerana setiap saat, setiap waktu yang dilalui perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya tidak dipersoalkan oleh Allah di mahkamah mahsyar nanti. Walau apa pun yang terjadi, walau apa pun rintangan yang mendatang pastikanlah diri ini mati dalam perjuangan Islam. Walau manusia membenci, walau manusia mencaci, hari esok adalah untuk Islam!



Syah ad-Dharawi



0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.