16 Jul 2010

Oh Masjidku...

“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata” (surah al-Baqarah: 208)


Salam ‘alayk.

Ayat di atas adalah satu arahan, satu perintah yang telah Allah s.w.t berikan kepada hambanya untuk masuk ke dalam Islam secara menyeluruh atau lebih mudah kita fahami dengan sepenuhnya tanpa menolak atau mengenepikan walaupun satu aspek yang telah di gariskan oleh Islam. Ini bertepatan dengan doa iftitah yang dilafazkan lima kali sehari ketika kita menunaikan solat fardhu iaitu, “sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekalian alam ini”.

Namun begitu, bilamana solat yang dilakukan itu hanyalah sekadar solat tanpa ada penghayatan, ia tidak dapat memberikan kesan ke dalam jiwa seseorang itu. Impaknya adalah pemisahan antara agama dan dunia tanpa mengira dosa dan pahala. Itulah yang terjadi baru-baru ini di tempat yang suci dan mulia bilamana terdapat individu-individu yang berfikiran sekular membawa fahaman mereka ke dalam jawatankuasa masjid.

Dengan fahaman yang di bawa urusan agama adalah di masjid dan selebihnya tidak terkait dengan agama menyebabkan masjid ini menjadi suram. Suramnya ia bukan kerana suasana, tetapi kerana tidak ada program-program untuk mengimarahkannya. Tidak ada usaha jawatankuasanya untuk meramaikan ahli jemaah di masjid. Tetapi apa yang disibukkan oleh mereka ini adalah bagaimana untuk menjadikan masjid ini sebagai hub untuk menjana kewangan. Bagaimana untuk menjadikan masjid ini sebagai lubuk mengumpul wang.

Setiap program yang ingin di anjurkan di masjid mestilah melalui tapisan jawatankuasa dahulu. Program yang dirasakan memberikan penerangan Islam yang sebenar akan di halang dan di cantas. Bahkan pernah terjadi, ustaz undangan yang menyampaikan tazkirah tidak dibenarkan untuk naik ke mimbar berkhutbah! Takut sungguh sampai ke tahap itu. MasyaAllah.

Begitulah sikap manusia yang begitu takutkan kebenaran. Mereka seboleh-bolehnya berusaha untuk menghalang dari kebenaran itu mengambil tempatnya yang sewajarnya. Pada mereka, masjid hanyalah tempat ibadat. Hanya berfungsi pada waktu solat sahaja dan tidak lebih dari itu. Pada mereka sebarang program yang di adakan selepas waktu solat adalah sesat dan bercanggah dengan syariat.

Mereka lupa bahawa tujuan mereka di lantik oleh Allah s.w.t sebagai jawatankuasa masjid adalah untuk membantu mengimarahkan masjid. Golongan seperti ini tidaklah menjadi golongan majoriti. Mereka merupakan golongan minoriti tetapi di sebabkan mereka ini berlagak pandai, maka semua orang mempercayai apa yang diperkatakan oleh mereka tanpa menyiasat kebenaran apa yang disampaikan oleh mereka ini.

Ingatlah firman Allah s.w.t di atas. Masuklah Islam secara menyeluruh. Sekiranya kita ingin melihat kegemilangan Islam itu kembali, maka letakkanlah sentuhan Islam dari semua aspek. Pastinya setiap perkara yang dilakukan itu mendapat berkat dan keredhaan Allah s.w.t. Bahkan negara inilah yang sentiasa mendapat naungan dari Allah s.w.t. Saat itu pasti kan menjelang maka ingatlah wahai pejuang, hari ini kita berjuang, Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.