19 May 2010

Besarnya Pengorbanan Mu...

Salam ‘alayk.

16 Mei merupakan satu tarikh yang sentiasa disebut-sebut. Terkadang ada diantara kita terlupa tarikh istimewa ini. Hari yang ditujukan khas untuk mereka yang bergelar pendidik, itulah Hari Guru.

Ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah s.w.t. seringkali kita kecilkan skop guru ini kepada mereka yang bergelar “cikgu” sahaja. Namun begitu bagaimanakah pula ayah dan ibu kita yang mendidik kita sejak kita dilahirkan ke dunia ini. Tidakkah mereka juga guru kepada kita? Yang mengajar kita cara untuk bertatih, mengajar kita untuk membaca, mengajar kita untuk bertutur dan menulis? Tidakkah mereka itu cikgu kepada kita? Seringkali juga kita terlupa bawa pensyarah-pensyarah kita juga merupakan pendidik? Tidakkah mereka ini berkecimpung di dalam bidang pendidikan.

Ikhwah dan akhawat, berapa ramaikah antara kita yang mengucapkan Selamat Hari Guru kepada ayah, ibu, guru serta pensyarah kita? Pengorbanan mereka kepada kita sangatlah besar. Seperti yang pernah saya sampaikan di ceramah-ceramah motivasi saya, ayah dan ibu, cikgu serta pensyarah tidak pernah mengungkit. Mereka tidak pernah meminta apa-apa dari kita. Cuma yang mereka ingin lihat adalah sekeping kertas tertulis keputusan peperiksaan yang cemerlang dan segulung ijazah.

Untuk siapakah anugerah dan kejayaan itu? Adakah mereka menerima wang tunai atau kenaikan pangkat dari kejayaan kita itu? TIDAK sama sekali. Mereka tidak mendapat sebarang manfaat daripada kejayaan yang kita perolehi hanyalah sekadar menumpang gembira dan bangga kerana anak didik mereka telah berjaya. Mereka sanggup mengorbankan masa, tenaga bahkan lebih dari itu untuk melihat kita ini mampu menjadi manusia yang berguna.

Memuliakan guru, adalah satu perkara yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan pernah satu ketika, seorang sahabat Nabi S.A.W sanggup memakaikan sepatu dan memimpin tali kuda gurunya kerana memuliakan gurunya. Namun begitu, amalan dan sunnah memuliakan guru ini semakin ditinggalkan dan dipinggirkan. Sepanjang hayat ini ada, tidak pernah saya bertemu guru yang tidak ikhlas dan berkira. Semua yang saya temui dan kenali, adalah mereka yang sering berkorban dan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Tidak kira apa gelaran yang diberi, samaada Tuan Guru, Ustaz, Ustazah, Professor, Professor Madya, Doktor, Cikgu, mereka tetap seorang guru kerana tugas mereka ialah mendidik masyarakat demi memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Sungguhpun mereka bergelar guru, tetapi mereka tetap murid. Kerana ilmu itu tidak akan habis bila dipelajari. Buat guru-guruku, jasamu hanya Allah s.w.t yang dapat membalasnya. Apa yang anak murid mu pinta, hanyalah sekadar doa dan restu dari ilmu yang telah dicurahkan agar ilmu yang diberikan itu mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Yakinlah guru-guruku, hari ini kita berjuang dengan ikhlas, pastinya Hari Esok Untuk Islam.

** Khas buat: Mama & Abah yang mendidik diri ini dari kecil, Guru-Guru Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ABIM (TASKI ABIM) Nurul Husna Selayang Jaya (1992), Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Selayang Jaya (1993-1998), Guru-Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights (1999-2003), Guru-Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan (2004), Pensyarah-Pensyarah Universiti Teknologi MARA Pahang (2004-2007) dan Pensyarah-Pensyarah Universiti Teknologi MARA Shah Alam (2007-2009), Pensyarah-Pensyarah Institut Perkaderan dan Dakwah Islamiyah (ILHAM), Guru-Guru Pusat Pengajian Pondok Bustanul 'Ariffin dan semua yang telah mendidik diriku ini. Moga Allah s.w.t sahaja yang membalas jasa mu.

Syah ad-Dharawi

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.