19 May 2010

Besarnya Pengorbanan Mu...

Salam ‘alayk.

16 Mei merupakan satu tarikh yang sentiasa disebut-sebut. Terkadang ada diantara kita terlupa tarikh istimewa ini. Hari yang ditujukan khas untuk mereka yang bergelar pendidik, itulah Hari Guru.

Ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah s.w.t. seringkali kita kecilkan skop guru ini kepada mereka yang bergelar “cikgu” sahaja. Namun begitu bagaimanakah pula ayah dan ibu kita yang mendidik kita sejak kita dilahirkan ke dunia ini. Tidakkah mereka juga guru kepada kita? Yang mengajar kita cara untuk bertatih, mengajar kita untuk membaca, mengajar kita untuk bertutur dan menulis? Tidakkah mereka itu cikgu kepada kita? Seringkali juga kita terlupa bawa pensyarah-pensyarah kita juga merupakan pendidik? Tidakkah mereka ini berkecimpung di dalam bidang pendidikan.

Ikhwah dan akhawat, berapa ramaikah antara kita yang mengucapkan Selamat Hari Guru kepada ayah, ibu, guru serta pensyarah kita? Pengorbanan mereka kepada kita sangatlah besar. Seperti yang pernah saya sampaikan di ceramah-ceramah motivasi saya, ayah dan ibu, cikgu serta pensyarah tidak pernah mengungkit. Mereka tidak pernah meminta apa-apa dari kita. Cuma yang mereka ingin lihat adalah sekeping kertas tertulis keputusan peperiksaan yang cemerlang dan segulung ijazah.

Untuk siapakah anugerah dan kejayaan itu? Adakah mereka menerima wang tunai atau kenaikan pangkat dari kejayaan kita itu? TIDAK sama sekali. Mereka tidak mendapat sebarang manfaat daripada kejayaan yang kita perolehi hanyalah sekadar menumpang gembira dan bangga kerana anak didik mereka telah berjaya. Mereka sanggup mengorbankan masa, tenaga bahkan lebih dari itu untuk melihat kita ini mampu menjadi manusia yang berguna.

Memuliakan guru, adalah satu perkara yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan pernah satu ketika, seorang sahabat Nabi S.A.W sanggup memakaikan sepatu dan memimpin tali kuda gurunya kerana memuliakan gurunya. Namun begitu, amalan dan sunnah memuliakan guru ini semakin ditinggalkan dan dipinggirkan. Sepanjang hayat ini ada, tidak pernah saya bertemu guru yang tidak ikhlas dan berkira. Semua yang saya temui dan kenali, adalah mereka yang sering berkorban dan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Tidak kira apa gelaran yang diberi, samaada Tuan Guru, Ustaz, Ustazah, Professor, Professor Madya, Doktor, Cikgu, mereka tetap seorang guru kerana tugas mereka ialah mendidik masyarakat demi memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Sungguhpun mereka bergelar guru, tetapi mereka tetap murid. Kerana ilmu itu tidak akan habis bila dipelajari. Buat guru-guruku, jasamu hanya Allah s.w.t yang dapat membalasnya. Apa yang anak murid mu pinta, hanyalah sekadar doa dan restu dari ilmu yang telah dicurahkan agar ilmu yang diberikan itu mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Yakinlah guru-guruku, hari ini kita berjuang dengan ikhlas, pastinya Hari Esok Untuk Islam.

** Khas buat: Mama & Abah yang mendidik diri ini dari kecil, Guru-Guru Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ABIM (TASKI ABIM) Nurul Husna Selayang Jaya (1992), Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Selayang Jaya (1993-1998), Guru-Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights (1999-2003), Guru-Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan (2004), Pensyarah-Pensyarah Universiti Teknologi MARA Pahang (2004-2007) dan Pensyarah-Pensyarah Universiti Teknologi MARA Shah Alam (2007-2009), Pensyarah-Pensyarah Institut Perkaderan dan Dakwah Islamiyah (ILHAM), Guru-Guru Pusat Pengajian Pondok Bustanul 'Ariffin dan semua yang telah mendidik diriku ini. Moga Allah s.w.t sahaja yang membalas jasa mu.

Syah ad-Dharawi

14 May 2010

Malunya Kita!


"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa Yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang Yang khianat." (an-Nisa’ ayat 105)


Salam ‘alayk.

Terima kasih yang tidak terhingga ditujukan kepada sahabat-sahabat yang masih setia menanti di blog ini. Bilamana sudah lama tidak menaip dan memerah otak untuk berdakwah melalui penulisan, otak mula beku dan lembab untuk mengarang. Terpaksa mengambil masa yang cukup lama untuk menyusun ayat. Mungkin ini antara bunga-bunga kepada futur, bilamana kita jauh dari bidang dakwah, maka jiwa kita menjadi liat dan berat untuk kembali berdakwah. Nauzubillahiminzalik.

Ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah s.w.t. Ayat diatas dari surah an-Nisa’ adalah satu ayat yang terang lagi bersuluh tentang peranan al-Quran sebagai satu perlembagaan dalam meletakkan satu-satu hukum. Namun begitu bilamana kita lihat pada situasi sekarang ini, al-Quran ini tidak lagi mendapat tempat di hati umat Islam terutamanya pemimpin-pemimpin yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin Islam. Apa yang menjadi rujukan mereka adalah pemikiran barat dan pemikiran logik berbanding al-Quran yang sudah semestinya lengkap dan diredhai Allah s.w.t.

Terjadi satu peristiwa yang cukup menarik di tempat kerja hari ini bilamana seorang pensyarah bukan Islam menganjurkan program untuk menurunkan berat badan. Sebagai langkah untuk menggalakan pegawai menjaga kesihatan, beliau mencadangkan agar individu yang bertambah berat badannya perlu membayar sejumlah amaun duit sebagai denda dan individu yang berjaya mengurangkan berat badan akan dibayar sejumlah duit sebagai ganjaran oleh pihak penganjur. Tidak diakui bahawa wang merupakan satu inspirasi yang mampu menggerakkan semua individu. Namun begitu satu balasan email dari seorang lagi pensyarah bukan Islam berkenaan cadangan ini membuatkan saya sedikit terkejut bahkan bangga kerana apa yang dikatakannya adalah perkara yang tidak mampu dilafazkan atau dikatakan oleh seseorang muslim.

Pensyarah ini mampu membalas dengan kata-kata yang cukup mudah iaitu “Gambling is prohibited in Islam!”. Ayat yang ringkas tetapi cukup padat dan mampu memahamkan semua lapisan masyarakat. Persoalannya, bagaimanakah seorang yang bukan muslim mampu mengatakan perkataan itu sedangkan orang yang bergelar muslim itu sendiri tidak mampu untuk melafazkannya? Persoalan yang hendak saya lontarkan disini adalah tidakkah kita sebagai umat Islam merasa malu kerana mereka ini lebih memahami dah jelas tentang perkara ini. (Sila rujuk imej di bawah).



Firman Allah s.w.t:
"mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah Yang mereka akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) Yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir." (al-Baqarah ayat 219)



FirmanNya lagi:


"Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (al-Maidah ayat 90)

Ayat-ayat al-Quran yang paparkan jelas menunjukkan bahawa judi ini HARAM hukumnya. Namun begitu mengapakah kita masih lagi berdegil dan tidak mahu mematuhi larangan yang telah Allah s.w.t. berikan ini. Dengan begitu mudah dan dengan tidak berfikir panjang kita dengan sewenang-wenangnya mengHALALkan apa yang telah Allah s.w.t. HARAMkan. Tidakkah kita berfikir bagaimanakah Allah s.w.t. menghancurkan umat-umat yang terdahulu yang ingkar pada arahan Allah s.w.t. Adakah kita juga ingin mengikut jejak langkah umat-umat yang terdahulu. Tidakkah kita takut akan kemurkaan Allah s.w.t? Kita seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran seperti yang terjadi di bumi Aceh dan Bosnia yang mana Allah s.w.t. musnahkan mereka kerana keingkaran mereka terhadap perintah Allah s.w.t.

Saya sendiri dari pandangan peribadi merasakan saya gagal sebagai seorang daie kerana
pensyarah bukan muslim itu terlebih dahulu membuat teguran. Dari sudut pandangan seorang daie, saya telah gagal untuk melaksanakan amar makruf wal nahyu anil mungkar, namun dari satu perspektif yang lain saya sedikit bangga kerana orang bukan Islam telah mula faham dan menerima ajaran yang dibawa oleh Islam. Semua agama mengakui bahawa berjudi ini tidak mendatangkan kebaikan kecuali kemusnahan dan kerosakkan semata-mata.

Benarlah kata-kata ulama’ bahkan sirah juga membuktikan bahawa bilamana Islam mentadbir pastinya semua orang akan merasa selesa dibawah pemerintahan Islam. Bukan sahaja kerana keadilan yang dibawa oleh Islam, tetapi kerana Islam itu sendiri membawa makna sejahtera. Maka sesiapa sahaja yang bernaung di bawah pemerintahan Islam pastinya akan merasa sejahtera. Yakinlah wahai pejuang, jahiliyyah pasti diruntuhkan, Islam kan kembali gemilang, Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.