26 Oct 2010

"Jangan di salah guna, tapi boleh guna..."

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu". (al-Baqarah: 120)


Salam ‘alayk.

Semakin hari diri ini semakin leka dan lalai sehinggakan sampai ke tahap mengabaikan tanggungjawab utama sebagai seorang daie’ dan lebih berat dari itu juga ada yang lalai dan lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada penciptaNya yang Maha Agung. Fenomena ini bukan sahaja melanda ummat Islam bahkan melanda hampir kesemua ummat manusia yang ada di muka bumi ini. Fenomena yang melanda ini seolah-olah meletakkan dan menghukum seseorang itu mundur dan jumud sekiranya tidak mengikut arus yang dibawanya.

Sungguhpun begitu, impak dari fenomena ini bukan sahaja mengakibatkan ummat ini lalai, tetapi juga ia mewujudkan bibit-bibit perpecahan yang berpunca dari pertelagahan terutama dalam perkara-perkara khilafiyah di dalam agama. Tidak dilupakan fenomena ini juga mewujudkan permasalahan yang lain yang lebih serius iaitu dalam soal muamalat dan ikhtilat antara seorang muslimin dan muslimat terutamanya yang bukan mahram. Hinggakan hilangnya perasaan malu, bahkan lebih buruk dari itu ada yang sanggup menjual dan mengadaikan maruah dirinya melalui fenomena ini. Nauzubillah!

Sememangnya fenomena ini adalah suatu perancangan yang amat teliti. Bersandarkan kepada suasana masyarakat yang mengamalkan budaya hedonisme (bertuhankan hiburan), maka yahudi laknatullah menyusun strategi dengan mewujudkan rangkaian-rangkaian sosial seperti facebook, yahoo messenger, hi5, multiply dan pelbagai lagi laman web sosial yang melimpah ruah dan bersepah di dalam internet. Ini semua bertepatan dan bersesuaian dengan kemajuan yang dicanang-canang iaitu dunia tanpa sempadan hinggakan maksiat juga boleh dilakukan tanpa sempadan, waktu, tempat dan tanpa mengira sesiapa.

Benarlah firman Allah s.w.t. di atas itu bahawa yahudi dan nasrani ini tidak akan sekali-kali redha hinggalah kita mengikut jejak langkah mereka. Perancangan kemas dan teratur mereka itu berjaya melalaikan ummat Islam kini. Dan benarlah juga kata-kata Saiyidina ‘Ali r.a.:


“Kebenaran yang tidak tersusun dapat dikalahkan dengan kebatilan yang tersusun”


Persoalannya disini bukanlah bermakna kita tidak boleh atau dilarang sekali menggunakan medium-medium tersebut, tetapi ada syarat dan adabnya. Suka saya memetik satu kaedah atau konsep yang dinyatakan oleh seorang ulama’ yang ‘alim iaitu, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang ketika beliau mengulas isu penggunaan kalimah Allah s.w.t dikalangan bukan muslim. Kaedahnya adalah “jangan disalah guna, tetapi boleh digunakan” konsepnya “suuzhon kepada husnuzhon”. Kaedah ataupun konsep ini amat sesuai dijadikan panduan untuk kita menggunakan medium-medium sosial yang melibatkan persoalan muamalat dan ikhtilat ini.

Pokok pangkalnya medium-medium ini boleh kita digunakan sebagai salah satu method untuk kita menyebarkan risalah Islam. Namun begitu, ada syarat-syarat dan batas-batas yang perlu dijaga dan diambil perhatian agar ia tidak melibatkan maksiat hati atau perbalahan terutamanya dikalangan kaum muslimin dan muslimat. Benar, matlamatnya adalah ukhuwwah, tetapi bilamana ia berlarutan hingga tidak terkawal, ia tidak lagi menjadi husnuzhon tetapi secara tidak langsung menjadi suuzhon. Matlamat asalnya mungkin untuk mengeratkan ukhuwwah, tetapi akhirnya menjadi satu maksiat hati yang akhirnya mendapat laknat dan murka dari Allah s.w.t bilamana muamalat dan ikhtilat itu tidak dijaga.

Sesungguhnya berjayalah perancangan yahudi ini. Suasana yang melanda kini sangat-sangat membimbangkan hinggakan ada yang seolah-olah mati sekiranya dalam sehari tidak melayari laman web sosial ini. Bahkan ada dikalangan mereka yang bekerja, termasuk majikan sendiri yang datang ke pejabat semata-mata untuk bersosial dan berkenal-kenalan. Ada juga antara mereka ini yang dari saat mulanya waktu berkerja hingga berakhirnya waktu bekerja dihabiskan dengan melayari web-web sosial ini. Ia mewujudkan satu suasana seolah-olah itu adalah satu kewajiban dalam kehidupannya sedangkan sebelum ini, sebelum wujudnya rangkaian sosial ini, banyak perkara berfaedah dan bermanfaat yang mereka lakukan.

Sesungguhnya bilamana melihat kembali kepada suasana kini, realitinya kita telah kalah. Kalah dengan perancangan yang begitu halus dan teliti. Perancangan yang mencetuskan perbalahan sesama muslim dan menghilangkan sifat malu antara kaum muslimin dan muslimat. Disinilah perlunya untuk kita mengingati kembali apa yang telah kita pelajari dan kita fahami sewaktu ditarbiyyah dahulu. Adab-adab dan akhlak, batas-batas syara’ dan juga perkara-perkara yang halal dan haram perlu diberi perhatian sewajarnya. Andaikata kita merasakan ia melalaikan dan merugikan, tinggalkanlah. Dan andaikata kita merasakan ia menguntungkan dan membantu gerak kerja dakwah, teruskanlah usaha itu. Sesungguhnnya itu bukanlah satu-satunya medium untuk kita menyebarkan risalah dakwah ini.

Marilah kita sama-sama muhasabah dan renungkan kembali adakah benar apa yang sedang kita lakukan ini. Sesungguhnya perjuangan yang didokong oleh para daie’ ini adalah perjuangan yang suci dan terpelihara dari dosa dan maksiat. Bimbangnya dengan maksiat yang dilakukan itu menjadi hijab doa antara kita dengan Allah s.w.t dan paling parah lagi menjadi asbab kepada gagalnya satu-satu usaha dakwah yang kita lakukan. Seorang daie’ akan sentiasa berusaha untuk menjaga kesucian dan kemuliaan perjuangan yang didokongnya dan bukannya memburuk dan mencacatkan perjuangan itu. Kerana mereka yakin dengan menjaga batas-batas halal dan haram inilah, jahiliyyah mampu diruntuhkan, Islam kan kembali gemilang dan Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

21 Oct 2010

Common Sense, Susah Ke?

Salam alayk.

Proses pembelajaran adalah satu proses yang berterusan. Sungguhpun kita telah dimasukkan ke dalam liang lahad, proses pembelajaran itu terus berjalan dengan adanya pembacaan talqin kepada si mati. Begitulah peripentingnya pembelajaran dalam kehidupan seseorang muslim itu. Pentingnya proses pembelajaran itulah yang menjadi suntikan kepada rakan-rakan untuk terus melanjutkan pelajaran dari peringkat ijazah sarjana muda ke peringkat sarjana dan seterusnya ijazah doktor falsafah.

Namun begitu, sungguhpun kita mendapat kelulusan tertinggi, masuk ke universiti terbaik di dunia, ada satu subjek atau topik yang tidak kita pelajari bahkan tidak terdapat langsung topik ini dalam pelan pengajian kita. Sungguhpun begitu topik ini adakalanya lebih difahami oleh orang yang tidak berpendidikan berbanding dengan orang yang mempunyai PhD dan sebagainya.

Topik atau subjek yang dimaksudkan adalah konsep atau kaedah pemikiran “Common Sense” atau lebih mudah kita fahami sebagai kaedah pemikiran logik. Pentingnya pemikiran ini akan membawa kita kepada konsep bertimbang rasa dan memikirkan kesusahan dan kesulitan orang lain. Dengan pemikiran ini biasanya mudah untuk kita mendekati seseorang dan akrab dengannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemikiran “common sense” atau pemikiran logik ini? Bagaimanakah ia berperanan dalam pergaulan sehari-harian kita. Suka saya untuk mengaitkan konsep “common sense” ini dengan tahap ke tiga rukun usrah iaitu konsep “takaful”. Konsep “takaful” menuntut kita agar memahami sahabat kita dan seterusnya menghulurkan bantuan kepada sahabat kita.

Bagaimanakah caranya untuk kita mendalami kaedah pemikiran “common sense” ini? Perlukah kita sambung pengajian dan ambil subjek ini? Tidak perlu sama sekali. Cara untuk mendapatkan ilmu ini cukup mudah, pemikiran "common sense" ini boleh kita dapatkan dengan memerhatikan kejadian dan peristiwa di sekeliling dan juga dengan kita memerhatikan situasi diri kita dan meletakkan diri kita di tempat sahabat yang ingin kita bantu itu.

Contoh mudah untuk diberikan adalah bagaimana kita menghubungi penceramah untuk memberikan pengisian program yang akan kita anjurkan. Kebiasaannya yang akan menjadi masalah utama adalah waktu kita menghubungi dan cara bagaimana kita menghubungi penceramah tersebut. Waktu atau masa, bilakah waktu yang sesuai untuk kita hubungi?

Fikirkan dengan situasi bilamana kita berada di rumah. Pada waktu pagi sekitar jam 6:00 pagi hingga 9:00 pagi adakah waktu ini sesuai untuk kita hubungi penceramah? Cuba kita fikirkan pada waktu tersebut, sewaktu kita berada di rumah. Apakah yang sedang dilakukan oleh ibu bapa kita pada waktu tersebut? Baru selesai solat subuh, bersiap untuk ke tempat kerja, hantar anak ke sekolah dan masuk ke pejabat. Sesuaikah kita menghubungi penceramah pada waktu itu?

Sama juga ketika masuknya waktu tengah hari, ketika itu orang sibuk untuk berehat, makan tengah hari dan solat Zuhur. Malamnya jam 5:00 petang hingga 9:00 malam pun adalah waktu yang biasanya orang bergegas pulang dari tempat kerja, gunakan untuk bersama keluarga, solat dan sebagainya. Jadi, bilamana persoalan-persoalan ini mampu kita fikirkan sebelum membuat sesuatu tindakan pastinya kita disenangi oleh orang-orang disekeliling.

Contoh-contoh situasi yang diberikan adalah sebahagian dari beribu situasi. Banyak lagi situasi yang terjadi pada diri kita yang boleh kita gunakan untuk berinteraksi dan berkerja dengan orang lain. Bagaimanakah untuk kita aplikasikan dalam kehidupan seharian adalah terpulang kepada kebijaksanaan kita sendiri. Bilamana kita memahami pemikiran ini, dengan mudahnya kita akan menghulurkan bantuan kepada orang yang hampir dengan kita itu tanpa diminta atau disuruh.

Kaedah pemikiran ini juga sebenarnya banyak membantu bilamana kita berkerja. Kebiasaannya bilamana kaedah pemikiran “common sense” ini digunakan tepat dan kena pada waktunya ia bukan sahaja memudahkan kerja kita, tetapi kita juga akan disenangi bahkan disayangi oleh majikan kita. Konsepnya adalah mudah sekali, fikirkan situasi orang lain sebelum kita fikirkan tentang diri kita sendiri.

Dalam mencapai kaedah pemikiran ini, perlunya kita membuang sikap pentingkan diri sendiri dan sikap tidak endah dengan suasana di sekeliling kita. Ungkapkan kembali peristiwa kisah tiga orang sahabat yang cedera parah ketika peperangan, sahabat yang pertama haus dan meminta air. Bilamana sahabat pertama ingin meneguk air tersebut, terdengar sahabat kedua meminta air dan dia mendahulukan sahabat kedua tersebut. Bilamana sahabat kedua ingin meneguk air, terdengar sahabat ketiga meminta air dan dia mendahulukan sahabat ketiga. Situasi itu berulang-ulang hinggalah ketiga-tiga mereka syahid di situ.

Begitulah ukhuwwah dan konsep takaful di dalam usrah. Perlunya kita mengorbankan sedikit kepentingan diri kita dan kita mendahulukan orang yang lebih memerlukan. Sekiranya pemikiran ini dapat disemai dan dipupuk ke dalam jiwa para daie’ pastinya jahiliyyah akan diruntuhkan dan pastinya Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi

11 Oct 2010

Sukanya Kita Bercerita...



"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan". (Surah al-Hujuraat: 6)


Salam ‘Alayk.

Saban hari terpampang di media massa, elektronik dan juga media cetak. Bahkan setiap jenis media ini saling berlumba dan bersaing antara satu sama lain untuk melariskan jualan. Apa yang dikejar adalah keuntungan dan juga kekayaan. Tidak dilupa juga yang mereka kejarkan adalah nama dan kemegahan bahawa merekalah media yang paling laris dan terkenal.

Mahupun media itu adalah medium menyebarkan berita-berita terkini ataupun medium untuk menjadi medan dakwah, ayat di atas seharusnya menjadi pedoman dan peringatan buat mereka yang berkecimpung di dalam bidang ini. Kerana kegairahan mengejar nama dan kemewahan membuatkan mereka terlupa dan terleka dengan amaran dan ingatan dari Allah s.w.t.

Namun begitu, harus diingati bahawa ayat ini bukannya ditujukan kepada mereka yang berkecimpung di dalam bidang kewartawanan sahaja, tetapi ayat ini juga ditujukan kepada mereka yang gemar menyebarkan berita-berita, cerita-cerita dan perkhabaran yang tidak benar. Dengan matlamat untuk menyembunyikan kebenaran dan dengan matlamat untuk mengaibkan orang lain.

Itulah kebimbangan yang wujud di dunia yang luas tanpa sempadan ini. Manusia, samaada mereka yang terlibat dengan dunia kewartawanan, mahupun yang gemar bercerita, tidak berfikir sebelum menyampaikan sesuatu. Bahayanya dari apa yang dibuat ini boleh menyebabkan individu yang mendengar itu mempunyai tanggapan atau pemahaman yang salah.

Satu persoalan dilontarkan oleh mu’allim saya ketika belajar dahulu “apa beza mengumpat dengan majalah gosip-gosip ini? Cuba penerbit menerbitkan majalah MENGUMPAT, pastinya tidak ada sesiapa yang berani untuk beli dan membacanya. Tetapi sekadar ditukar majalah MENGUMPAT itu menjadi majalah-majalah yang sedap di dengar namanya seperti MEMPELAM, RAMBUTAN dan sebagainya, konsepnya tetap sama MENGUMPAT”.

Seharusnya kebijaksanaan yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t itu digunakan untuk menyampaikan dan menyebarkan risalah Islam di muka bumi ini, tetapi disalah gunakan dengan mempelbagaikan kaedah untuk menambah dosa. Bahkan realiti kini, dapat kita lihat bagaimana media-media penyebar fitnah ini lebih diberikan kebebasan berbanding dengan media-media yang menyampaikan dan menyatakan perkara yang hak dan kebenaran.

Namun begitu, sudah menjadi Sunatullah. Sunggupun mendapat sekatan dan halangan, suara-suara kebenaran ini tetap akan berkumandang. Sungguhpun dihalang dengan pelbagai cara, sunnah yang telah Allah s.w.t tetapkan peringatan-peringatanNya tetap akan berkumandang. Kerana Allah s.w.t tidak akan membiarkan duniaNya sepi dari peringatan-peringatan dan amaran-amaran tentang dosa dan pahala untuk hamba-hambanya.

Ingatan buat para daie’ berhati-hatilah dalam setiap perkara yang dilakukan khususnya dalam menyampaikan satu-satu perkhabaran. Kajilah dan lihatlah dari pelbagai perspektif agar perkhabaran yang kita sampaikan itu adalah perkhabaran yang benar. Bimbang takut-takut kerana perkhabaran yang kita sampaikan itu, mengakibatkan perpecahan dan persengketaan antara kita sesama muslim. Benarlah diam itu lebih baik dari berkata-kata.

Sungguhpun begitu, janganlah ada di antara kita yang berdiam diri dari menyampaikan kebenaran. Lebih teruk dari itu, kita pula yang menjadi orang yang menyembunyikan kebenaran. Sebab itulah, perlunya kita menyampaikan kebenaran, walaupun kebenaran itu pahit untuk ditelan. Pastinya manusia mencaci dan membenci bilamana kita menyatakan kebenaran, sungguhpun begitu teruskanlah perjuangan kerana maki dan caci itu adalah mehnah dan tribulasi di dalam berjuang dan yakinlah pastinya Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi
 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.