16 Jul 2010

Se-Malam Di Taman Syurga...


Salam ‘alayk.

Benarlah kata orang penantian itu satu penyeksaan. Bahkan di sebabkan kita tidak memperdulikan Allah s.w.t. di dunia ini, Allah s.w.t membalas kembali kesombongan dan keangkuhan kita itu dengan tidak memperdulikan kita di mahsyar selama 300 tahun akhirat dengan keadaan matahari terpacak sejengkal di atas kepala. Menanti, merintih dan merayu agar Allah s.w.t. mempercepatkan perbicaraan mahsyar.

Namun begitu, apa yang hendak di kongsikan di sini bukanlah untuk menceritakan keadaan di mahsyar. Tetapi adalah untuk memaklumkan kepada ikhwah dan akhawat keindahan taman-taman syurga yang terdapat di dunia ini.

Alhamdulillah, setelah hampir setahun menunggu akhirnya dua bulan yang lalu saya terima satu panggilan telefon yang membawa satu khabar gembira, satu jawapan yang pasti. Jawapan yang akan memberi sinar kepada masjid kariah saya. Panggilan dari pembantu peribadi murobbi saya ketika belajar di Pahang dahulu.

Sungguh bertuahnya kami kerana panggilan yang diterima itu ada
lah pengesahan tarikh kuliah Maghrib Y.Bhg. Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Permintaan ini adalah sejak jawatankuasa masjid bertukar tangan dari tahun lalu, dan akhirnya masjid kariah saya ini bakal mendapat sentuhan seorang ulama’ haraki yang cukup tersohor.

Sungguhpun mendapat tentangan dari beberapa ahli jawatankuasa yang berfiqrah sekular, tetapi demi melihat masjid ini harmoni saya dan beberapa rakan sefiqrah harungi jua. InsyaAllah, dengan amanah yang ditaklifkan sebagai jawatankuasa masjid ini, akan saya dan bebrapa rakan sefiqrah gunakan sepenuhnya ruang yang ada untuk mengimarahkan dan menghidupkan kembali masjid ini yang dahulunya lumpuh kerana kegilaan sesetengah individu untuk merebut kuasa dan pangkat.

Kepada ikhwah dan akhawat, saya dengan berbesar hati menjemput ikhwah dan akhawat untuk hadir bersama-sama di majlis ilmu ini untuk mengutip mutiara dan permata yang akan ditaburkan oleh ulama' tersohor ini. Dan saya mohon jasa baik ikhwah dan akhwat untuk sebarkan dan sampaikan maklumat ini kepada rakan-rakan seperjuangan lain yang dahagakan ilmu.

Akhirnya ingatlah, prinsip seorang pejuang, jangan sekali-kali mencari musuh tetapi bilamana berhadapan dengannya jangan sekali-kali melarikan diri. Berhadapan dengannya dan tentang habis-habisan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dan ingatlah jahiliyyah pasti diruntuhkan suatu hari nanti, Islam kan kembali gemilang dan yakinlah hari ini kita berjuang dan Hari Esok Untuk Islam.

Syah ad-Dharawi

Oh Masjidku...

“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata” (surah al-Baqarah: 208)


Salam ‘alayk.

Ayat di atas adalah satu arahan, satu perintah yang telah Allah s.w.t berikan kepada hambanya untuk masuk ke dalam Islam secara menyeluruh atau lebih mudah kita fahami dengan sepenuhnya tanpa menolak atau mengenepikan walaupun satu aspek yang telah di gariskan oleh Islam. Ini bertepatan dengan doa iftitah yang dilafazkan lima kali sehari ketika kita menunaikan solat fardhu iaitu, “sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekalian alam ini”.

Namun begitu, bilamana solat yang dilakukan itu hanyalah sekadar solat tanpa ada penghayatan, ia tidak dapat memberikan kesan ke dalam jiwa seseorang itu. Impaknya adalah pemisahan antara agama dan dunia tanpa mengira dosa dan pahala. Itulah yang terjadi baru-baru ini di tempat yang suci dan mulia bilamana terdapat individu-individu yang berfikiran sekular membawa fahaman mereka ke dalam jawatankuasa masjid.

Dengan fahaman yang di bawa urusan agama adalah di masjid dan selebihnya tidak terkait dengan agama menyebabkan masjid ini menjadi suram. Suramnya ia bukan kerana suasana, tetapi kerana tidak ada program-program untuk mengimarahkannya. Tidak ada usaha jawatankuasanya untuk meramaikan ahli jemaah di masjid. Tetapi apa yang disibukkan oleh mereka ini adalah bagaimana untuk menjadikan masjid ini sebagai hub untuk menjana kewangan. Bagaimana untuk menjadikan masjid ini sebagai lubuk mengumpul wang.

Setiap program yang ingin di anjurkan di masjid mestilah melalui tapisan jawatankuasa dahulu. Program yang dirasakan memberikan penerangan Islam yang sebenar akan di halang dan di cantas. Bahkan pernah terjadi, ustaz undangan yang menyampaikan tazkirah tidak dibenarkan untuk naik ke mimbar berkhutbah! Takut sungguh sampai ke tahap itu. MasyaAllah.

Begitulah sikap manusia yang begitu takutkan kebenaran. Mereka seboleh-bolehnya berusaha untuk menghalang dari kebenaran itu mengambil tempatnya yang sewajarnya. Pada mereka, masjid hanyalah tempat ibadat. Hanya berfungsi pada waktu solat sahaja dan tidak lebih dari itu. Pada mereka sebarang program yang di adakan selepas waktu solat adalah sesat dan bercanggah dengan syariat.

Mereka lupa bahawa tujuan mereka di lantik oleh Allah s.w.t sebagai jawatankuasa masjid adalah untuk membantu mengimarahkan masjid. Golongan seperti ini tidaklah menjadi golongan majoriti. Mereka merupakan golongan minoriti tetapi di sebabkan mereka ini berlagak pandai, maka semua orang mempercayai apa yang diperkatakan oleh mereka tanpa menyiasat kebenaran apa yang disampaikan oleh mereka ini.

Ingatlah firman Allah s.w.t di atas. Masuklah Islam secara menyeluruh. Sekiranya kita ingin melihat kegemilangan Islam itu kembali, maka letakkanlah sentuhan Islam dari semua aspek. Pastinya setiap perkara yang dilakukan itu mendapat berkat dan keredhaan Allah s.w.t. Bahkan negara inilah yang sentiasa mendapat naungan dari Allah s.w.t. Saat itu pasti kan menjelang maka ingatlah wahai pejuang, hari ini kita berjuang, Hari Esok Untuk Islam!

Syah ad-Dharawi
 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.